Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan kertas siasatan ke atas Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) yang membabitkan kes rasuah bernilai RM6 juta.

Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memberitahu, kes tersebut kini telah dikemukakan kepada timbalan pendakwa raya SPRM bagi peringkat kajian.

Namun jelas beliau, kertas siasatan itu belum dihantar ke Pejabat Peguam Negara.

“Kes itu (LFA) telah pun siap dan telah dikemukakan kepada timbalan pendakwaan raya kami dan sedang dalam kajian mereka dan belum lagi peringkat hantar AGC dan masih peringkat pendakwaan SPRM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Konvokesyen Kali Ke-10 Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) SPRM di sini hari ini.

Pada 5 Januari lalu, KFA mengesahkan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zulkifli Che Haron ditahan reman SPRM semalam bagi membantu siasatan kes rasuah bernilai RM6 juta.

Naib Presiden KFA, Muhamad Radhi Mat Din berkata, pihaknya akan mengadakan mesyuarat khas selewat-lewatnya esok bagi membincangkan perkara berkenaan secara teliti dan terperinci.

Muhamad Radhi yang juga Exco Belia dan Sukan negeri berkata, Zulkifli dianggap sebagai individu paling kuat bekerja di dalam KFA dan bertanggung jawab membantu menyelesaikan masalah hutang yang membelenggu persatuan itu sebelum ini.

Pada 11 Januari lalu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut dipanggil dan disiasat selama tiga jam di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Muhammad Sanusi yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dipercayai disoal siasat berhubung dakwaan isu rasuah dalam kelab bola sepak negeri itu. – MalaysiaGazette