Reaksi kanak-kanak selepas berkhatan sempena cuti sekolah di Parit, Perak. Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Ibu bapa yang merancang membawa anak menjalani prosedur berkhatan pada musim cuti sekolah diminta memastikan fasiliti tersebut adalah fasiliti yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Sekiranya ibu bapa bercadang untuk mengkhatankan anak di program anjuran yang dijalankan di luar fasiliti kesihatan, mereka juga dinasihatkan agar memastikan program berkhatan itu dikendalikan oleh pengendali dan pengamal perubatan yang berdaftar dengan KKM dan terlatih dalam menjalankan prosedur berkhatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, nasihat itu diberikan kerana terdapat peningkatan bilangan kes rujukan ke hospital-hospital KKM bagi kanak-kanak yang mengalami komplikasi selepas berkhatan.

Peningkatan itu berdasarkan audit berkhatan bagi kanak-kanak lelaki yang telah dijalankan oleh KKM pada cuti persekolahan yang lalu iaitu pada 14 Disember 2023 sehingga 1 Januari 2024).

Komplikasi-komplikasi ini terdiri daripada komplikasi minor (seperti pendarahan dan jangkitan kuman) dan komplikasi major (seperti kecederaan pada glans penis, keradangan melampau dan pemotongan kulit yang berlebihan) yang memerlukan
pembedahan semula.

Menurut beliau, komplikasi-komplikasi ini, sama ada major mahu pun minor sudah tentu akan mengakibatkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan ibu bapa dan kanak-kanak.

Di samping itu, ia akan turut membawa kepada gangguan mental dan menjejaskan perkembangan emosi kanak-kanak itu sendiri.

“Sekiranya ibu bapa bercadang untuk mengkhatankan anak di program anjuran yang dijalankan di luar fasiliti kesihatan, KKM menyarankan agar ibu bapa memastikan anak berumur tujuh tahun dan ke atas (memandangkan di usia ini anak-anak lebih matang dan bersedia secara mental) dan mempunyai keadaan fizikal atau anatomi zakar yang normal dansesuai (yang telah menjalani pemeriksaan dan disahkan oleh doktor sebelum berkhatan).

“Bagi kanak-kanak yang tidak memenuhi kriteria di atas, KKM menyeru agar ibu bapa mendapatkan nasihat doktor dan pakar perubatan di mana-manafasiliti kesihatan yang berdekatan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, KKM juga ingin menegaskan terdapat beberapa masalah kesihatan yang tidak sesuai untuk menjalani prosedur berkhatan di luar hospital termasuk fizikal (anatomi) zakar yang tidak normal seperti Hypospadias, buried penis, phimosis dan sebagainya;

Selain itu, masalah pendarahan seperti hemofilia, Von Willebrand Disease dan lain-lain; atau anak berkeperluan khas seperti Down’s Syndrome,Autism, Cerebral Palsy dan sebagainya.

Di samping itu, sekiranya ibu bapa merasakan dan mendapati anak tidak dapat memberikan kerjasama semasa prosedur dijalankan, adalah dinasihatkan supaya ibu bapa sewajarnya untuk tidak meneruskan prosedur tersebut.

Ibu bapa boleh membawa anak tersebut ke hospital yang berdekatan untuk mendapatkan nasihat dan rawatan selanjutnya.

“Ibu bapa juga digesa untuk membawa anak ke fasiliti kesihatan yang berdekatan sekiranya berlaku komplikasi selepas berkhatan seperti pendarahan, perubahan warna pada zakar atau kulit sekelilingnya, jangkitan kuman (seperti demam, sakit danbernanah) dan tidak boleh membuang air kecil, serta apa jua kebimbangan yang dirasakan perlu mendapatkan khidmat nasihatdaripada pengamal perubatan,” tambahnya.

Dr Dzulkefly berkata, bagi memastikan prosedur berkhatan yang dijalankan adalah selamat, KKM telah menubuhkan satu Kumpulan Kerja Teknikal yang terdiri daripada pengamal perubatan kerajaan dan swasta bagi pemantauan aktiviti berkhatan di Malaysia.

Ini membuktikan komitmen dan kesungguhan KKM dalam memastikan tahap kompetensi pengamal perubatan yang menjalankan prosedur berkhatan dipantau secara berterusan.

Bagi tujuan ini, KKM turut menjalankan latihan secara berterusan kepada pengamal perubatan dan menjalinkan kerjasama erat bersama pengamal perubatan swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dengan prosedur berkhatan.

“Oleh itu, KKM ingin menegaskan bahawa hanya pengamal perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta yang terlatih dan kompeten sahaja yang dibenarkan menjalankanprosedur berkhatan dengan menggunakan kaedah dan peralatan yang telah mendapat kelulusan daripada Medical Device Authority (MDA).

“Ini mustahak bagi memastikan prosedur ini selamat dan bebas daripadaa sebarang komplikasi,” menurut Dr Dzulkefly.

Sehubungan itu, pihak penganjur program berkhatan di luar fasiliti kesihatan yang  menganjurkan program berkhatan pada musim cuti persekolahan ini, hendaklah memaklumkan penganjuran tersebut kepada KKM sebagaimana surat YBhg. Datuk Ketua Pengarah Kesihatan iaitu Surat Keperluan Memaklumkan Penganjuran Program Berkhatan di Luar Fasiliti Kesihatan yang telah diedarkan pada 9 Februari 2024, ujar beliau. – MalaysiaGazette