Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada media selepas Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) Kali Ke-10 di Dewan Tuan Hussein Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 22 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan tempoh 30 hari untuk seorang lagi anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengisytiharkan harta kerana ia melibatkan jumlah yang banyak.

Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam berkata, pada masa sama, Tan Sri Mohkzani memohon tambahan waktu lagi kerana beliau perlu memperincikan dokumen-dokumen dan harta yang berkaitan.

Namun beliau berkata, Mokhzani dan  abangnya, Mirzan telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang disiasat SPRM.

“Beliau ada memohon dan kita ada memberi tambahan masa kepada beliau 30 hari lagi untuk isytihar harta berkenaan.
Wajar diberikan (lanjutan) kerana berdasarkan keterangan daripada pegawai penyiasat, harta-harta terlibat banyak dan beliau memerlukan lebih perinci lagi dokumen-dokumen dan akaun yang berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Majlis Konvokesyen Kali Ke-10 Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) SPRM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azam berkata, Mokhzani dan Mirzan boleh memohon lagi tambahan lanjutan waktu namun SPRM akan mengkaji terlebih dahulu.

“Mereka boleh memohon (tambahan lanjutan) tapi kita akan mengkaji dulu,” katanya.

Sebelum ini, Azam mengesahkan, Mirzan telah memohon perkara sama dan telah diberikan lanjutan 30 hari pengisytiharan harta-hartanya kepada agensi rasuah itu.

Pada bulan lalu, media melaporkan, SPRM mengeluarkan perintah notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 terhadap Mirzan dan Mokhzani.

Sebelum ini dilaporkan SPRM memanggil Mirzan dan Mokhzani untuk disoal siasat bulan lepas walaupun asas sebenar siasatan mereka tidak jelas.

Pada 6 Februari lalu, Azam berkata, SPRM belum menerima sebarang maklum balas dan mengatakan Mirzan dan Mokhzani boleh didakwa jika gagal mengisytiharkan harta mereka kepada agensi itu.

Berikutan itu, kedua-dua beradik itu mengeluarkan kenyataan akhbar pada 8 Februari bagi meminta SPRM bersabar dan mengatakan adalah mustahil untuk mengumpulkan maklumat melibatkan tempoh 43 tahun.

Menurut Mirzan dan Mokhzani, SPRM telah meminta senarai aset sejak 1981, iaitu tahun pertama Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Selepas Mirzan, Mokhzani dapat tempoh lanjutan 30 hari isytihar harta kepada SPRM