KUANTAN – Pusat Kutipan Zakat dan Wakaf Pahang Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (PKZ-MUIP) menerima RM30,098,036.24 juta sumbangan Zakat Perniagaan daripada 14 badan korporat hari ini.
Jumlah tersebut diserahkan menerusi Majlis Serahan Zakat Badan Korporat yang disempurnakan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Hotel Grand Darul Makmur hari ini.
Dalam majlis tersebut, baginda diiringi Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah yang merupakan Yang Dipertua MUIP dan Timbalan Yang Dipertua MUIP, Tengku Panglima Raja, Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Menurut Pengurus Besar Kanan PKZ-MUIP, Datuk Halidan Md Daud, sumbangan terbesar diterima adalah daripada FGV Holdings Berhad iaitu sejumlah RM8,636,535.
Katanya, kutipan zakat harta yang terkumpul bagi seluruh negeri Pahang bagi tahun 2023 direkodkan meningkat sebanyak 4 peratus iaitu sebanyak RM 215.1 juta berbanding RM 206.9 juta bagi tahun 2022.
“Penyumbang terbesar bayaran zakat harta adalah daripada zakat pendapatan dan hasil potongan gaji. Sebanyak RM 77.5 juta telah diterima melalui potongan gaji dengan bilangan pembayar seramai 64,541 orang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Halidan, amaun kedua terbesar diterima adalah daripada zakat perniagaan yang meliputi 4,356 pembayar dalam kalangan badan-badan korporat dan lain-lain perniagaan iaitu sebanyak RM 77.3 juta.
Dalam pada itu, katanya, seramai 6,328 individu merupakan pembayar baharu yang membayar sejumlah RM7,444,013 sehingga Februari bagi tahun ini.
“PKZ Pahang juga terus memberi fokus kepada kempen Wakalah Sekolah (Pemulangan Semula Wang Zakat). Setiap sekolah yang menepati syarat ditentukan iaitu lebih daripada 90% kakitangan berzakat melalui potongan gaji dengan amaun RM1,000 ke atas layak menuntut Wakalah.
“Untuk tahun 2024, dianggarkan lebih 200 sekolah akan mendapat manfaat pemulangan semula wang zakat untuk diagihkan kepada asnaf dalam sekolah masing-masing. Ini akan melonjakkan kutipan potongan gaji di kalangan guru-guru,” katanya.
Selain itu, pihak PKZ Pahang juga sedang mengusahakan agar para peneroka boleh melaksanakan zakat hasil ladang mereka melalui potongan gaji bulanan melalui slip bayaran hasil.
“Ini akan membuka peluang kepada lebih 43,000 peneroka dalam negeri Pahang menunaikan ibadah zakat mereka secara konsisten,”jelas Halidan. – MalaysiaGazette