OVIEDO, Sepanyol – Sekurang-kurangnya empat orang maut dan sehingga 19 orang hilang, kata pihak berkuasa Valencia selepas kebakaran melanda dua bangunan kediaman besar di bandar Valencia.
Perkhidmatan kecemasan masih belum memasuki bangunan yang hangus.
Anggota bomba masih membasahkan bangunan, yang terbakar itu bagi memastikan integriti strukturnya.
“Kami hanya boleh mengesahkan apa yang kami lihat, yang pada masa ini adalah empat orang,” kata Jorge Suarez, sub-pengarah perkhidmatan kecemasan Valencia kepada media.
Presiden Valencia Carlos Mazón berkata, 15 orang cedera, lima daripadanya adalah anggota bomba.
Pakar memberitahu, bangunan itu mengguna poliuretana – bahan yang sama digunakan untuk melindungi Menara Grenfell di London, yang terbakar pada 2017 dan membunuh 72 orang.
Corak kebakaran antara kedua-dua kebakaran adalah serupa – bangunan di London dan Valencia dijilat api dalam masa kira-kira 30 minit selepas kebakaran mula berlaku.
Kebakaran itu menyebabkan asap hitam tebal berkepul-kepul.
“Poliuretana dijadikan sebagai perapi kepada bangunan tersebut. Ia adalah bahan sintetik yang membolehkan prestasi haba yang baik… tetapi ia mudah terbakar,” menurut jurunilai insurans Juan Antonio Diego.
Angin kencang pada masa itu, memburukkan lagi keadaan, tambahnya.
Laporan media berkata, kebakaran berlaku di tingkat lapan dan merebak di dua bangunan pangsapuri yang bersambung tempat kira-kira 450 orang tinggal.
Valencia telah mengisytiharkan tiga hari berkabung, termasuk menangguhkan acara pertama perayaan Las Fallas. – Agensi