Salah sebuah rumah penduduk yang dirobohkan bagi jajaran ECRL yang akan melalui tanah rizab Melayu, kampung warisan dan tanah adat Orang Asli di Gombak Utara di Kampung Sungai Chinchin, Selangor. Foto WAN NABIL NASIR, 23 FEBRUARI 2024.

GOMBAK – Penduduk Kampung Sungai Chinchin di sini hidup dalam kegusaran selepas 151 buah rumah di sekitar kawasan mereka telah dirobohkan termasuk kediaman 30 orang asli bagi memberi laluan kepada projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Lantaran itu, hampir 2,500 penduduk daripada 13 buah kampung di Gombak Utara ini  sekali lagi bangkit mempertahan tanah mereka.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, mereka kini dalam usaha memfailkan injunksi di mahkamah untuk menghalang projek terbabit.

“Kami bersama Sekretariat Selamatkan Tanah Warisan Gombak akan ke mahkamah jika para penduduk, kerajaan serta pemaju gagal mencapai kata sepakat agar projek itu tidak melalui 13 kampung berkenaan,” katanya.

Mohd Zai Mustafa

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan lebih 100 penduduk Kampung Sungai Chinchin yang terjejas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zai berkata, usaha itu akan dibuat dengan mengumpul tanda tangan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO), pakar sejarah serta ahli akademik dalam minggu ini sebelum peguam memfailkannya di mahkamah.

Tegasnya, semua pihak perlu bersama dalam perjuangan ini kerana ia menjejaskan tanah rizab Melayu, kampung warisan dan tanah adat Orang Asli jika projek laluan itu masih diteruskan.

Muhammad Yusof Sulaiman

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Gombak Utara, Muhammad Yusof Sulaiman memberitahu, nasib penduduk yang terjejas itu kini seakan-akan tidak terbela.

Beliau sedih mengenangkan ada dalam kalangan mereka yang terpaksa menumpang di rumah jiran, anak-anak dan adik-beradik memandangkan pampasan yang diterima tidak setimpal dengan nilai hartanah pada masa ini.

Dalam masa sama, beliau tidak menafikan pembangunan itu mampu memacu ekonomi negara, namun berharap keadilan daripada segenap aspek diambil kira agar tiada yang tertindas.

Yusof turut mendakwa, ada juga kawasan tanah wakaf di situ telah diwarta sebagai tanah kerajaan termasuk masjid dan kesemua isu berbangkit akan dibawa ke mahkamah.

Sebelum ini media melaporkan beberapa buah rumah termasuk bengkel serta tabika Kemas atas tapak itu telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek ECRL sehingga mengancam penduduk di 13 buah kampung di situ. – MalaysiaGazette