Sunday, December 15, 2024
Home Utama Kalaupun dia bersalah, tidak sepatutnya diperlakukan begitu – Ibu Shahril

Kalaupun dia bersalah, tidak sepatutnya diperlakukan begitu – Ibu Shahril

Ibu mangsa, Kalijah Ahmad, 60 melihat foto allahyarham ketika tinjauan MalaysiaGazette mengenai kes seorang lelaki yang dipukul dan diikat sehingga maut di Taman Pelangi, Semenyih 2. Foto SYADILA AMARI, 23 FEBRUARI 2024.

ULU BERANANG – “Kalaupun anak saya bersalah, tidak sepatutnya dia diperlakukan begitu.

“Kita kan ada undang-undang, (balai) polis pun tak jauh, ada dekat situ, panggil je (polis) dan tangkap. Janganlah menidakkan undang-undang,” kata Kalijah Ahmad, 60, ibu kepada Allahyarham Shahril Samad kepada MalaysiaGazette.

Sebagai seorang ibu, Kalijah berkata, dia tidak dapat menerima cara anaknya dipukul, apatah lagi melihat tangan Allahyarham diikat begitu rupa.

“Macam mana dia nak melawan lagi kalau sudah diikat. Dahlah tu (diikat) tangan belakang, kalau depan, boleh jugak dia lindung kepala. Ni (diikat) tangan belakang, orang kuat pun tak dapat nak melawan,” tambahnya dalam nada sebak.

Kalijah berkata, anak kedua dari tujuh adik-beradik itu seorang pendiam tetapi mempunyai ramai kawan.

Beliau yang masih terperanjat dengan kejadian itu berkata, dia dimaklumkan kejadian itu oleh anak-anaknya.

Tanah Perkuburan Ulu Beranang, tempat mangsa dikebumikan ketika tinjauan MalaysiaGazette mengenai kes seorang lelaki yang dipukul dan diikat sehingga maut di Taman Pelangi, Semenyih 2. Foto SYADILA AMARI, 23 FEBRUARI 2024.

Dia mahu ke tempat kejadian untuk mengetahui apa yang telah berlaku tetapi dihalang oleh anak sulungnya dan tidak lama kemudian dimaklumkan tentang kematian Shahril.

Menurut warga emas ini, walaupun masih sedih dan terkejut dengan kehilangan anak yang banyak membantu di kedai makan miliknya, namun dia perlu kuat demi kesihatan.

“Tetapi sekuat-kuat ibu pun, siapalah tahu kan,” katanya sebak.

Tambah warga emas ini, Allahyarham Shahril selalu membantu di kedai makan miliknya terutama membeli barang keperluan di Pasar Semenyih, sudah tentu ketiadaannya amat dirasai.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya tidak lagi menyebarkan rakaman video anaknya demi menjaga perasaan seorang ibu, ayah serta ahli keluarga.

Menurutnya, dia dan suami tidak sanggup melihat rakaman video yang tersebar itu.

“Saya tidak sanggup tengok video itu. Jangan disebarkan secara melampau-lampau,” pintanya lagi.

Temubual bersama ibu dan ayah mangsa, Kalijah Ahmad, 60 dan Samad Bakar, 71 ketika tinjauan MalaysiaGazette mengenai kes seorang lelaki yang dipukul dan diikat sehingga maut di Taman Pelangi, Semenyih 2. Foto SYADILA AMARI, 23 FEBRUARI 2024.

Dalam pada itu, ayah kepada Allahyarham, Samad Bakar, 71, pula menyifatkan tindakan beberapa individu yang memukul anaknya dengan tangan berikat sebagai perbuatan zalim.

Sebagai bapa, dia hanya berharap semua individu terbabit akan menerima hukuman setimpal

“Saya tidak dapat terima langsung perbuatan mereka. Mereka tidak fikir kalau yang dibuat adalah anak, keluarga mereka.

“Biarlah orang yang buat kepadanya terima hukuman setimpal macam mana mereka buat kepada anak saya,” katanya dalam kesedihan.

Selasa lalu, polis mengesahkan seorang lelaki maut dibelasah sekumpulan individu susulan satu kemalangan dipercayai membabitkan seorang penghantar makanan di di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai satu kemalangan maut itu kira-kira jam 9.20 malam.
Menurut beliau, sebuah kereta Proton Saga terbabas setelah melanggar pagar kawasan perumahan tersebut manakala pemandu kenderaan itu terbaring di atas jalan dengan kedua-dua tangannya diikat.
Rakaman video kejadian tersebut tular di media sosial.

Setakat ini polis telah menahan tujuh individu yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Dalam pada itu, polis mengesahkan hasil bedah siasat Shahril tidak menunjukkan kesan kecederaan yang menjurus ke arah kematian.

Bagaimanapun polis masih menunggu laporan ujian makmal.

Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Bahagian Trafik turut membuka siasatan di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette

Pemandu kereta langgar lari dibelasah sampai mati, lima diberkas

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast