Gambar hiasan

Oleh: Prof. Madya Dr. Mohd Shahidan Shaari

KALAU kita masih ingat, ringgit pernah berada pada paras bawah RM4 terhadap dolar Amerika sebelum merosot pada RM4.0395 pada 12 Ogos 2015. Sejak itu, Malaysia semakin lemah dan kekal berada di atas RM4.00, merosot pada RM4.7845 terhadap dolar pada 19 Februari 2024.

Ia dijangka mencapai RM5 pada tahun hadapan sekiranya tiada campur tangan dari kerajaan untuk menangani masalah penurunan ini.

Sesetengah ahli ekonomi berpendapat lemahnya nilai ringgit membawa kesan positif kepada ekonomi kerana eksport akan menjadi lebih kompetitif dalam pasaran antarabangsa, dan eksport Malaysia akan meningkat.

Kesannya, ekonomi akan meningkat akibat peningkatan eksport dan banyak peluang pekerjaan akan tercipta.

Namun, adakah hal ini akan berlaku atau hanya teori semata-mata? Oleh itu, sesetengah ekonomi lain tidak bersetuju dan menyatakan bahawa hasil eksport akan jatuh akibat penurunan nilai mata wang, yang akan memberi impak buruk kepada ekonomi.

Inflasi diimport akan berlaku akibat peningkatan kos input yang diimport seperti makanan dan minyak. Ini akan mengakibatkan penurunan penawaran barang-barang tempatan yang terlalu bergantung kepada input diimport.

Tambahan pula, gaji purata bagi tahun hadapan dijangka meningkat, dan ini mungkin memburukkan lagi inflasi.

Punca kepada kejatuhan ringgit adalah disebabkan sama ada penurunan permintaan ringgit atau peningkatan penawaran ringgit atau kedua-duanya berlaku secara serentak dalam pasaran.

Selepas berlakunya peningkatan kadar bunga di Amerika Syarikat (AS), pelabur asing lebih berminat untuk melabur di AS, dan hal ini menyebabkan pemingkatan nilai dolar dan pada masa yang sama nilai ringgit melemah.

Hal ini adalah kerana berlakunya peningkatan permintaan terhadap dolar.

Melihat kepada situasi ini, adakah Malaysia perlu mengikut jejak AS dengan meningkatkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk meningkatkan lagi kompetitif pasaran pelaburan asing, dan akhirnya menyebabkan permintaan ringgit meningkat?

Namun, tidak semudah itu kerana peningkatan OPR akan memberi impak buruk terhadap perbelanjaan pengguna dan perkembangan firma. Hal ini menyebabkan Bank Negara sukar untuk membuat keputusan sama ada perlu meningkatkan OPR atau tidak.

Kesimpulannya, penurunan nilai mata wang akan membawa keburukan kepada ekonomi, termasuk masalah inflasi diimport dan akhirnya mengurangkan lagi pelaburan asing ke Malaysia.

Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah segera dan berkesan dalam menangani masalah ringgit yang terus merosot pada paras RM5 terhadap dolar. Keadaan politik juga perlu sentiasa berada dalam keadaan stabil bagi memastikan pelabur asing yakin untuk melabur di Malaysia, yang akan meningkatkan nilai ringgit.

Hal ini mungkin akan menyebabkan jangkaan nilai ringgit berada pada paras RM5.00 tidak akan berlaku.

Penulis adalah pensyarah di Fakulti Perniagaan dan Komunikasi
Universiti Malaysia Perlis.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast