Saifuddin Nasution membidas hantaran semula oleh pemilik akaun X tidak bertanggungjawab mencipta naratif jahat terhadap beliau dan kerajaan Malaysia tentang kehadiran dalam UNGA yang dianggap membawa persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menyelar tindakan pemilik akaun X  bernama Kopitiam Malaya@Kopitiam Malaya yang membuat penghantaran semula gambar kehadirannya dalam Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu seolah-olah beliau mendengar Perdana Menteri Israel, Netanyahu berucap di New York, Amerika Syarikat (AS).

Beliau menganggap tujuan hantaran itu dinaikkan semula oleh pihak berkenaan bertujuan mencipta naratif jahat dan fitnah ke atas beliau sebagai menteri dan kerajaan Malaysia.

Malah dalam hantaran Kopitiam Malaya itu turut dilampirkan gambar ucapan Netanyahu sambil memegang peta New Middle East di dalam UNGA tersebut bersama gambar Saifuddin Nasution seolah-oleh mencetuskan persepsi pemimpin negara itu  mendengar ucapan pemimpin negara haram berkenaan.

Saifuddin dalam hantaran X rasminya memberi penjelasan sambil membidas perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab pemilik akaun X yang menghantar semula gambar beliau dengan gambar Netanyahu dalam UNGA yang dianggap memberi gambaran salah dan finah kepada umum.

“Kehadiran saya seperti dalam gambar ni adalah atas kapasiti saya sebagai salah satu delegasi dan hanya mendengar ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di UNGA,” tegas Saifuddin menerusi satu hantaran terbaharu di akaun X  hari ini.

Turut dilampirkan semula kiriman dalam X itu adalah wakil rakyat Israel bernama Dann Danon kononnya berkemungkinan Malaysia menjadi destinasi pengecualian visa dan gembira atas kehadiran Saifuddin ke sidang PBB tersebut.

Namun Saifuddin membidas kata-kata wakil rakyat Israel itu sambil menegaskan impiannya tidak akan menjadi kenyataan dan Malaysia tetap akan terus mengutuk dan melawan kezaliman Netanyahu dan Israel.

“Jangan perasan. Sewaktu ucapan di UNGA, Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim jelas mengkritik sekeras-kerasnya tindakan Israel di hadapan semua!” katanya.

Mesej Saifuddin itu satu isyarat jelas dan pendirian tegas Malaysia akan terus melawan habis-habisan terhadap kekejaman rejim Zionis Israel itu terhadap rakyat Palestin dan tiada ruang untuk pendamaian dengan negara berkenaan.

Pada masa yang sama, netizen khususnya pengguna akaun X yang mengikuti akaun rasmi Saifuddin meminta pemimpin itu mengambil tindakan tegas ke atas pemilik akaun Kopitiam Malaya yang didakwa menyebarkan fitnah yang boleh membawa tanggapan negatif daripada rakyat. – MalaysiaGazette