Dr. Ahmad Hamdan Ariffin (tengah ) menyatakan program berkenaan merupakan pendedahan kepada pelajar berkaitan teknologi dan proses pembuatan roket perum.

BATU PAHAT –  Bagi menyemai minat pelajar sekolah terhadap bidang Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mengadakan program perkongsian ilmu bertajuk Rocket for Education di sini baru-baru ini.

Ia melibatkan pelajar sekolah menengah sekitar daerah Batu Pahat dengan kerjasama Research Centre for Unmanned Vehicle (ReCUV) dan Aerodynamics and Propulsion Research (APR), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) UTHM.

Program dengan kerjasama High Energy Material Research Laboratory (HEMREL), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Pejabat Pendidikan Daerah Batu Pahat itu telah diadakan di Perpustakaan Tunku Tun Aminah manakala aktiviti pelancaran roket pula dilaksanakan di Padang C, kampus induk.

Menurut ketua program, Dr. Ahmad Hamdan Ariffin, program yang melibatkan penyertaan 24 sekolah sekitar Batu Pahat itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar berkaitan teknologi dan proses pembuatan roket perum.

“Roket perun iaitu sebuah roket yang digunakan untuk menghantar barang ke ruang angkasa lepas. Kandungan program turut meliputi sejarah teknologi roket, proses penilaian reka bentuk menggunakan perisian Open Rocket, pengenalan kepada telemetri serta pembuatan dan penggabungan roket perum,” katanya. 

Beliau berkata demikian sempena sesi Penilaian Anugerah Keusahawanan Kementerian Pendidikan Tinggi  di Tunku Tun Aminah di sini hari ini.

Sepanjang program berlangsung, seramai lapan fasilitator terdiri daripada pelajar sarjana muda FKMP telah membimbing 52 peserta bagi menghasilkan roket perum.

Program itu juga dirangka sebagai salah satu inisiatif FKMP menyokong hasrat UTHM untuk menyebarluaskan ilmu kepada komuniti.

“Hasil perkongisan ilmu tersebut akan diaplikasikan oleh peserta sebagai persediaan menyertai pertandingan Malaysia Rocket Competition 2024 (MRC 2024) yang akan diadakan pada 3 dan 5 September akan datang bertempat di Felcra Seberang Perak, Perak. 

“Inisiatif ini selari dengan hasrat UTHM menjadi universiti teknikal global dalam teknologi lestari dan pengangkutan,” katanya.

UTHM akan terus komited meneroka ilmu baharu sekali gus berkongsi dengan masyarakat agar nilai keilmuan akan terus mekar dalam kalangan generasi muda,katanya .- MalaysiaGazette