Foto IPD Ampang Jaya

KUALA LUMPUR – Sekumpulan lelaki menyamar polis dan menyamun warga asing di Pandan Indah dekat sini akhirnya tumpas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya telah menahan empat lelaki tempatan yang disyaki terlibat sekitar ibu kota semalam.

Kesemua suspek berusia dalam lingkungan 30 hingga 40 tahun.

“Polis telah merampas 31 telefon bimbit, vest tulisan polis, pakaian, tukul besi, kuku kambing, spanar, playar, wang tunai dan tiga buah kereta bagi membantu siasatan.

“Modus operandi kesemua suspek adalah menyamar sebagai polis dengan menggunakan senjata dan menyasarkan rumah warganegara asing berpenghuni bagi melakukan samun berkumpulan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semakan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai 11 rekod lampau dan dua masih dikehendaki kesalahan dadah.

Suspek kedua mempunyai tujuh rekod lampau dan suspek keempat mempunyai lima rekod lampau.

“Hasil ujian air kencing yang dijalankan dapati kesemua suspek positif dadah jenis Meth, Amp dan Opiate,” katanya.

Kesemua tangkapan telah dibawa ke Mahkamah Ampang bagi permohonan tahanan reman dan dibenarkan selama tujuh hari bermula hari ini.

Sebelum itu, polis menerima aduan seorang lelaki warganegara Bangladesh disamun sekumpulan enam lelaki di kediamannya pada 22 Februari lalu.

Mereka memakai vest dengan membawa gunting besar dan tukul serta memberitahu mangsa mereka mahu membuat operasi.

“Setelah kesemua suspek masuk ke dalam rumah, pengadu serta tujuh mangsa yang lain warganegara asing telah diminta duduk di ruang tamu rumah dan dijaga oleh dua orang suspek.

“Suspek lain kemudian telah menyelongkar setiap bilik di rumah tersebut dan mengambil wang tunai, barang kemas, telefon bimbit dan dokumen peribadi milik pengadu dan rakan-rakannya,” ujarnya.

Setelah menggeledah dan mengambil barang serta wang tunai, kesemua suspek telah beredar dari rumah tersebut dengan menaiki kenderaan.

Menurut Mohd Azam, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan rompakan berkumpulan bersenjata serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan merujuk kepada menyamar penjawat awam. – MalaysiaGazette