TELUK KUMBAR – Jawatan Kuasa Bertindak Bantahan Asrama Warga Asing terus mendesak Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya mendengar suara pelbagai pihak khsususnya penduduk Teluk Kumbar berhubung kelulusan pembinaan asrama pekerja asing di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Bantahan yang juga Pengerusi Kariah Masjid Maqbul Teluk Kumbar, Prof Emiritus Dr. Muhammad Idiris Salleh berkata, ia susulan pihaknya teguh dengan pendirian tidak mahu pembinaan asrama itu diteruskan meskipun jumlah penempatan dikurangkan daripada 32,000 kepada 26,000 orang.
“Memang kerajaan negeri minta kita bincang sendiri dengan pemaju berhubung isu ini tapi kita nak jelaskan di sini, ruang perbincangan memang dibuka namun bukan untuk ‘tawar-menawar’ kapasiti penempatan warga asing.
“Selain itu, kita mendesak kerajaan negeri untuk main peranan sebagai pemerintah negeri dalam menangani isu ini bukan biarkan rakyat bergelut sendiri dalam menyelesaikan perkara berbangkit susulan kebenaran merancang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) selepas mengambil kira mesyuarat Exco.
“Jadi tak wajar kalau kerajaan negeri biarkan isu ini berlarutan dengan alasan mereka tiada kuasa lebih atas tanah persendirian,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu, lebih 500 penduduk sekitar Teluk Kumbar di sini mengadakan bantahan secara aman berhubung kelulusan pembinaan asrama pekerja asing di kawasan berkenaan.
Bantahan yang berlangsung kira-kira tiga jam bermula jam 9 pagi itu turut menggesa kerajaan negeri Pulau Pinang membatalkan kelulusan serta kebenaran merancang asrama tersebut.
Ketika diminta mengulas tiada wakil kerajaan negeri serta parti politik sekutu Kerajaan Perpaduan hadir, Muhammad Idiris berkata, pihaknya sudah menjangkakan perkara tersebut.
“Kita hantar jemputan kepada Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye namun tiada respons.
“Surat jemputan kepada Nurul Izzah Anwar pula mereka memberi maklum balas akan menghantar wakil namun tiada kelibat wakil mereka termasuk ADUN Bayan Lepas serta Ahli Parlimen Balik Pulau,” katanya.
Sementara itu, Exco Armada Bersatu Nasional, merangkap Ketua Penerangan Pemuda Perikatan Nasional Pulau Pinang, Muhammad Harris Idaham Abdul Rashid berkata, Kon Yeow mempunyai kuasa veto sebagai ketua menteri untuk membatalkan kebenaran merancang dalam mesyuarat Exco.
“Tindakan mereka (kerjaaan negeri) lepas tangan dalam isu ini dilihat seolah-olah mereka lebih kepada mendengar ‘arahan’ pemaju berbanding suara rakyat yang mengundi.
“Bagi saya, ADUN Bayan Lepas serta Ahli Parlimen Balik Pulau gagal dalam melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat kerana suara mereka yang merupakan sebahagian dalam kerajaan tidak didengar sehingga memaksa rakyat ke jalanan untuk membela hak sendiri.
“Mereka (ahli Parlimen, Nurul Izzah) sepatutnya bawa perkara ini lebih awal kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar beliau boleh masuk campur minta kerajaan negeri mempertimbangkan semula kebenaran merancang itu kerana mereka antara orang rapat atau mudah mendekati PMX,” tegasnya.
Dalam perkembangan sama, Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Muhammad Fauzi Yusof yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang menyifatkan tindakan kerajaan negeri menunjukkan mereka di dominasi pemaju sehingga tiada kuasa untuk membatalkan projek yang dibantah rakyat.
“Kita sudah bawa isu ini dalam persidangan DUN lepas namun jawapan mereka hanya pembinaan asrama warga asing di Bertam saja dibatalkan.
“Kita akan bawa lagi isu ini ke DUN akan datang kerana kita tidak mahu projek ini dilaksanakan seperti mana projek tambak laut. Dalam masa sama kita harap kerajaan negeri pandang serius masalah disebabkan warga asing sebelum ‘berkeras’ mahukan pembinaan ini diteruskan di Teluk Kumbar,” katanya. – MalaysiaGazette