TANJONG KARANG – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak mungkin memecat enam ahli Parlimennya yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila meminda Perlembagaannya, 2 Mac ini.
Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menyifatkan ia sebagai tindakan tidak bijak kerana parti itu hanya akan kehilangan satu kerusi Parlimen yang dimenangi sebelum ini.
“Kalau dia (Bersatu) pecat, dia hilang satu ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), saya akan jadi ahli Parlimen bebas.
“Bila saya jadi ahli Parlimen bebas, saya bebaslah ke mana saya nak pergi.
“Pemecatan tidak akan berlaku, peletakkan jawatan pun tidak akan berlaku.
“Bodohlah sana (Bersatu) kalau dia pecat, bodohlah saya kalau letak jawatan. Ini dua perkara yang tidak mungkin berlaku,” katanya pada sidang media khas di pejabat Khidmat Parlimen Tanjong Karang, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Bersatu akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada 2 Mac ini.
Perhimpunan itu dijangka meminda Perlembagaan parti susulan tindakan enam ahli Parlimen parti itu menyatakan sokongan terhadap kepimpinan perdana menteri.
Perkara itu disahkan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris yang berkongsi surat maklumat mengenai Perhimpunan Agung Khas itu melalui laman Facebook, pada 16 Februari lalu.
Dalam pada itu, Zulkafperi tidak menolak kemungkinan Bersatu mungkin akan menggantung keahliannya kerana tindakannya membelakangkan parti.
“Dia hanya perkara ketiga akan berlaku, iaitu penggantungan.
“Kita tak perlu fikir isu lain, isu Sama ada dia ambil tindakan gantung saya sebagai ahli Bersatu, gantung tak bertali,” katanya lagi. – MalaysiaGazette