KUALA LUMPUR – Satu majlis pemulihan ekonomi perlu dibentuk secara ad hoc oleh kerajaan bagi menangani isu-isu yang memberi kesan secara langsung kepada rakyat.
Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, kekurangan bekalan barangan, kenaikan harga barangan, kos hidup bukan sahaja membimbangkan, sebaliknya turut menekan rakyat.
Ini kerana, situasi yang berlaku sekarang sudah menekan rakyat secara langsung dan tidak langsung.
Oleh itu, perdana menteri perlu mempengerusikan perbincangan yang sepatutnya dilakukan setiap hari bagi memastikan semua keperluan asas dilindungi.
“Pastinya bukan kes menjadi ‘politik’ apabila kumpulan pengguna dan pihak prihatin lain membangkitkan isu tersebut, dan adalah penting pihak berkuasa mengambil alih semua kebimbangan tersebut…dan mengadakan perbincangan segera dan serius dengan semua yang berkaitan pihak berjepentingan dalam masyarakat menangani isu-isu yang menimbulkan kebimbangaan.
“Format boleh menjadi majlis pemulihan ekonomi negara ad hoc, terutama untuk membincangkan situasi yang tidak dapat dipertahankan sekarang, dan langkah-langkah menangani setiap isu… termasuk juga, hutang awam yang semakin meningkat, kehakisan nilai ringgit, kehilangan saing Malaysia dalam beberapa bidang,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Tegas Rafidah, ketiadaan analisis mendalam dalam statistik ekonomi, terutamanya dalam konteks pelaburan dan perdagangan yang tidak memberi gambaran sebenar yang berlaku.
Beliau mengingatkan isu-isu yang membimbangkan rakyat perlu ditangani dengan rasa terdesak, jika tidak keyakinan terhadap tadbir urus awam akan terhakis.
Jika itu berlaku, Rafidah berkata, ia akan mewujudkan suasana suram masa depan negara dalam jangka pendek, sederhana dan panjang. – MalaysiaGazette