Range Rover Evoque Facelift yang lebih dinamik.

KUALA LUMPUR – Jaguar Land Rover Malaysia (JLRM) melancarkan Range Rover
Evoque Facelift, yang melambangkan kemewahan moden tapi mengekalkan DNA kenderaan kompak mewah yang melambangkan kehebatan jenama Range Rover sejak dari dulu lagi.

Mengekalkan rupa bentuk siluet ikoniknya, Range Rover Evoque Facelift yang
baharu nyata menarik perhatian dengan penampilan bergaya dan reka bentuk
aerodinamik.

Reka bentuk luar dipertingkatkan dengan gril yang direka bentuk semula, lampu depan Pixel LED penuh bergaya dan lampu pergerakan siang (DRL) yang tersendiri boleh didapati dalam Lux Spec.

Rekaan dalaman Range Rover
Evoque Facelift.

Model dinaik taraf ini juga kelihatan seperti permata apabila ia memaparkan grafik depan dan belakang yang lebih unik dan menonjol.

Bagi melengkapi bumbung terapung dan juga garis badan yang lancar dan tidak terputus, Evoque Facelift memaparkan serlahan dan warna luar serba baharu untuk membawa perwatakan yang sememangnya berbeza.

Profil Evoque dengan garis bentuk seperti coupe dicirikan oleh kontur bumbung
yang mencerminkan kepantasan dan garis pinggang yang menaik manakala DNA
Range Rover boleh dikenal pasti serta-merta daripada flush deployable door handles sehingga ke bumbung terapung.

Apabila digandingkan dengan roda 21 inci pada Lux Spec, unsur-unsur ini menghasilkan penampilan yang teguh dan dinamik.

Tambahan lagi, reka bentuk gril terbaharu meningkatkan lagi kecanggihan
keseluruhan kenderaan.

Ciri-ciri canggih Range Rover Evoque Facelift.

Di ruangan kabin, falsafah reka bentuk moden dipaparkan oleh skrin sentuh kaca
melengkung 11.4 inci baharu, yang disepadukan dengan rapi ke dalam konsol
tengah.

Ini bukan sahaja meluaskan tahap penglihatan tetapi juga menyediakan lebih banyak ruang untuk simpanan dalam dan pengecasan peranti tanpa wayar.

Dipacu oleh teknologi infohiburan Pivi Pro generasi terbaharu, dengan ciri software
over the air yang terkini, Evoque Facelift menjanjikan pengalaman digital yang
serba lancar dan selesa.

Ciri-ciri lain yang sama hebat termasuk sistem bunyi Meridian 400W premium, turus stereng yang boleh dilaraskan secara elektrik, pedal pertukaran gear krom satin, dan roda stereng dengan bezel cahaya bulan.

Dengan dua pilihan menarik, model P200 dan P250 setiap satu menawarkan ciri-ciri
kelebihan yang unik. P200, yang dilengkapi enjin petrol empat silinder 2.0 liter
200PS, menghasilkan tindak balas pantas dengan pecutan 0-100km/j dalam masa
8.6 saat, dan juga tork 320Nm pada 1,200-4,000rpm, menggabungkan prestasi
dengan kecekapan.

Pandangan tepi Range Rover Evoque Facelift.

Sementara itu, model P250 menjanjikan prestasi lebih tinggi dengan tork 249PS dan 365Nm pada 1,300-4,500rpm, dengan keupayaan memecut 0-100km/j dalam masa 7.6 saat.

Keselamatan terus diutamakan menerusi rangkaian teknologi kamera paling canggih
dalam kelasnya.

Boleh didapati dalam Spesifikasi H dan Lux, kemudahan seperti kamera 3D Surround, ClearSight Ground View dan ClearSight Interior Rear View meningkatkan keyakinan pemandu dan menetapkan piawaian baharu dalam aspek keselamatan.

Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, Asia Tenggara, Sime Darby Motors, berkata,
kenderaan hebat ini menetapkan penanda aras bagi SUV mewah kompak dan memperlihatkan inovasi automotif.

Dengan penambahbaikan terbaharu, Range Rover Evoque Facelift memadankan dengan
sempurna, kuasa dan kelestarian, mencerminkan dedikasi kami untuk mengukuhkan
pengalaman memandu bagi pelanggan.

Syed Ahmad Muzri Syed Faiz, Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia,
berkata, kemewahan, kemodenan dan kecanggihan diterapkan dalam segala ciri
kelebihan Range Rover Evoque Facelift.

Range Rover Evoque Facelift baharu, yang bakal menambat hati penggemar SUV
boleh didapati dalam tiga pilihan, pada harga RM498,800.00 untuk 200PS Dynamic
SE (M Spec), RM529,800.00 untuk 249PS Dynamic SE (H Spec), dan RM565,800.00 untuk Evoque 249PS Dynamic HSE (Lux Spec).

Antara pilihan warna yang menarik termasuk Corinthian Bronze (Gangsa Corinthian),
Tribeca Blue (Biru Tribeca), dan Arroios Grey (Kelabu Arrorios), yang dikaitkan
dengan kemewahan dan ketenangan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast