Gambar hiasan

TAIPING – Panik didakwa terlibat dalam pengubahan wang haram, seorang suri rumah mengalami kerugian RM182,650 akibat diperdaya sindiket ‘phone scam’ dalam kejadian pada Rabu lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, wanita berusia 55 tahun itu pada mulanya menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa pekerja sebuah syarikat penghantaran di Kuantan, Pahang pada jam 2.08 petang.

Jelas beliau, suspek mendakwa bungkusan atas nama mangsa mengandungi kad pengenalan, pasport serta kad ATM namun mangsa menafikan bungkusan itu miliknya.

“Selang beberapa minit mangsa terima panggilan kedua daripada lelaki yang mendakwa daripada syarikat penghantaran sama sebelum panggilan itu disambung kepada suspek ketiga yang mendakwa dirinya Inspektor Chong dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang

“Inspektor Chong itu mendakwa mangsa didapati menjual akaun bank miliknya kepada pengurus sebuah bank di Taiping pada harga RM150,000 bagi urusan pengubahan wang haram.

“Mangsa menafikan perkara itu sebelum suspek ketiga itu memaklumkan boleh membantu menyelesaikan masalah tersebut sebelum meminta mangsa menghubungi seorang datuk konon dari IPK Pahang juga,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Yusri, suspek keempat menghubungi mangsa pada hari sama menerusi aplikasi WhatsApp dan meminta maklumat akaun banknya kini untuk membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia.

“Tidak lama kemudian suspek menghantar surat pengesahan daripada BNM dan mengarahkan mangsa memasukkan semua wang simpannya ke dalam akaun bank diberikan suspek malah, jika gagal semua wang tersebut akan dibekukan.

“Panik dengan dakwaan suspek, mangsa melakukan 20 transaksi ke empat akaun bank berbeza melibatkan jumlah kerugian RM182,650.

“Dia hanya sedar diperdaya selepas semua wang simpanannya lesap sebelum tampil membuat laporan berhubung kejadian semalam,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette