PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang kontraktor, peniaga dan operator kerugian RM20,040
selepas terpedaya dengan iklan pinjaman wang yang tidak wujud.

Ketua Polis Terengganu, Deputi Komisioner, Datuk Mazli Mazlan berkata, bagi kes pertama, mangsa seorang kontraktor, 41, telah membuat permohonan pinjaman wang sebanyak RM10,000 tetapi mengalami kerugian RM4,100.

Manakala kes dua pula melibattkan seorang peniaga yang memohon pinjaman RM60,000 tetapi rugi RM8,400 dan mangsa ketiga kehilangan wang RM7,540 selepas memohon jumlah pinjaman yang sama.

Menurutnya, dalam kes-kes tersebut, mangsa terpedaya dengan iklan berkaitan pinjaman wang melalui Facebook.

Tertarik dengan tawaran syarikat pinjaman tersebut, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman.

Mangsa kemudian diminta membuat pelbagai bayaran bagi mendapatkan wang pinjaman dan telah memasukkan bayaran ke beberapa akaun bank (keldai akaun) namun masih tidak menerima wang pinjaman tersebut.

Dalam pada itu, Mazli berkata, pihaknya menerima sebanyak 81 laporan kes jenayah komersial antara 18 Februari hingga 24 Februari 2024, berbanding 71 laporan bagi minggu sebelumnya.

Daripada jumlah itu, tujuh kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian RM44,455.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya menyemak nama syarikat, syarat sah pemberi pinjaman wang berlesen dan prosedur bagi pinjaman wang sebenar.

Selain itu, mereka turut dinasihati melakukan semakan melalui laman sesang Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk pengesangan syarikat pinjaman wang. – MalaysiaGazette