Peguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Aida Arifin hadir bagi sambungan perbicaraan kes 1MDB melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Foto SYADILA AMARI, 19 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-49 prosiding 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini mendedahkan pegawai bank empat buah negara enggan memberi kerjasama dalam siasatan penyelewengan dana itu.

Negara-negara itu termasuklah Belanda, Hong Kong, Barbados dan Switzerland.

Menurut saksi itu, Nur Aida Ariffin yang merupakan Penguasa Kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), agensinya melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memohon untuk merakam percakapan berhubung siasatan skandal namun tidak menerima jawapan positif.

Kata Nur Aida, hanya saksi dari Singapura, Kevin Michael Swampillai (juga saksi pendakwaan ke-44 1MDB) telah memberikan kerjasama sepenuhnya.

Kevin Michael merupakan bekas Ketua Perkhidmatan Pengurusan Dana Bank BSI manakala seorang lagi pegawai, bekas Pengarah Urusan Bank BSI (Singapura), Yak Yew Chee pula enggan bekerjasama.

Nur Aida juga mendedahkan Yee Chee Ketika ini sudah dihukum penjara 18 minggu dan denda oleh Mahkamah Singapura kerana gagal mendedahkan urusniaga berkaitan 1MDB pada tahun 2016.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal balas antaranya dengan peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sambil diperhatikan Najib dari kandang bersalah.

Untuk makluman, bank BSI yang merupakan sebuah bank dari Switzerland menawarkan kemudahan dana fidusiari pernah dikaitkan dengan dana 1MDB dan SRC International kerana memindahkan dana besar ke luar negara.

Sebelum ini, Nur Aida ketika prosiding minggu lepas pernah mendedahkan dirinya tidak menyerahkan beberapa dokumen berkaitan kes itu kerana menganggap ianya seperti tidak relevan.

Dokumen-dokumen yang dimaksudkan itu diperolehi daripada dua negara difahamkan berkaitan dengan perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram dana RM2.3 bilion milik 1MDB.

Rata-rata dokumen itu ialah transaksi dan kenyataan bank dikaitkan dengan 1MDB serta akaun peribadi Najib, Nur Aida mengaku menerima dokumen dalam bentuk cakera padat (CD) dan juga salinan (hard copy).

Prosiding akan bersambung esok di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memandangkan Nur Aida masih lagi sedang dalam proses mengesahkan beberapa dokumen berkaitan dalam mahkamah ketika bicara.

Najib ketika ini sedang berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama. – MalaysiaGazette