Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi bercakap kepada media selepas hadir ke Program Jualan Termurah Madani ‘Barangan Basah dan Kering’ ketika di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tanjung Karang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 25 FEBRUARI 2024.

TANJONG KARANG – Kesesakan lalu lintas di sini khususnya pada hujung minggu dan setiap kali musim cuti didakwa berpunca daripada keengganan pemimpin terdahulu membina jejambat merentasi Sungai Tengi.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi berkata, lebih malang apabila prasarana itu tidak mahu dibina kerana khuatir pekan tersebut tidak disinggah pengguna jalan raya apabila melalui kawasan itu.

“Kalau kita pergi Sekinchan ada dua, tiga flyover, pergi Sungai Besar ada flyover, tapi Tanjong Karang tiada.

“Saya difahamkan mungkin pemimpin terdahulu memang sengaja tak nak bina sebab dia takut Tanjong Karang akan sepi.

“Nanti orang lalu terus melewati ke pekan Tanjong Karang,” katanya pada sidang media khas di pejabat Khidmat Parlimen Tanjong Karang, di sini.

Dalam pada itu, Zulkafperi berkata, walaupun kerajaan giat menyiapkan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE), jejambat merupakan satu keperluan mendesak ketika ini.

“Walaupun WCE dibina, kita harus juga bina satu flyover di situ, supaya masalah rakyat setempat tidak berlaku.

“Saya pun sudah suarakan di Parlimen dan ia akan dibina dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

“Awak lalu sekali pun sudah tahu kenapa tak dibina flyover,” katanya.

Zulkafperi yang enggan menyalahkan bekas ahli Parlimen enam penggal berkata, Tanjong Karang bagaikan sebuah pekan yang terbiar sebelum beliau menjadi wakil rakyat di situ.

“Inspirasi untuk majukan Tanjong Karang sebagai bandar agro tourism, sehingga ke hari ini kita masih berimej pekan.

“Tidak ada satu hotel pun di Tanjong Karang, yang ada hanya homestay sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette