SANAA – Kumpulan Houthi Yaman membenarkan operasi menyelamatkan kapal British Rubymar yang karam di Teluk Aden selepas dibedil hanya jika bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk ke Semenanjung Gaza.
Agensi Anadolu melaporkan, kenyataan tersebut dibuat oleh ahli Majlis Politik Tertinggi kumpulan itu Muhammad Ali Al-Houthi dalam satu kenyataan di platform X.
“Kapal British yang karam itu boleh ditunda sebagai pertukaran untuk membawa trak bantuan ke Gaza. Ini adalah tawaran yang boleh dipertimbangkan,” tambahnya.
Kapal Rubymar membawa sejumlah besar ammonia dan minyak dan karam selepas diserang oleh pejuang Haouti pada 18 Februari lalu.
Kenyataan Houthi dibuat sehari selepas kerajaan Yaman menyeru negara-negara di seluruh dunia, pertubuhan dan badan yang prihatin dengan memelihara alam sekitar marin supaya segera menangani krisis kapal British Rubymar.
Pada hari Sabtu, kerajaan Yaman berkata bahawa kapal itu sedang menuju ke arah Kepulauan Hanish Yaman di Laut Merah, yang mengancam “bencana alam sekitar yang besar.”
Sementara itu Komando Pusat AS (CENTCOM) berkata, serangan terhadap kapal berkenaan menyebabkan kerosakan besar dan berlaku tumpahan minyak sejauh 18 batu.
“M/V Rubymar sedang mengangkut lebih 41,000 tan baja apabila ia diserang, yang boleh tumpah ke Laut Merah dan memburukkan lagi bencana alam sekitar ini,” tambahnya.
Kumpulan Houthi Yaman telah menyasarkan kapal kargo di Laut Merah dan Teluk Aden yang dimiliki atau dikendalikan oleh syarikat Israel.
Mereka turut menyasarkan kapal mengangkut barang ke dan dari Israel sebagai solidariti dengan Semenanjung Gaza telah diserangan oleh Israel sejak 7 Oktober lalu.
Kumpulan itu mengisytiharkan bahawa ia menganggap semua kapal Amerika dan British sebagai sasaran tentera yang sah.-Agensi