KUALA LUMPUR – Seorang pekerja restoran warga Myanmar didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh rakan senegara berhubung isu hutang.

Hasang, 24, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa Myanmar di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang memakai kemeja-T berwarna hitam itu kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 28 Mei untuk sebutan kes.

Lelaki itu didakwa membunuh Kyaw Kyaw di gelanggang bola keranjang, taman permainan kawasan perumahan di Bandar Manjalara, Kepong, antara 12 tengah malam hingga 4 pagi pada 13 Februari lepas, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast