Shah Rizad Samad ditemui di perkarangan Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi pagi ini.

BANGI – Ahli keluarga Allahyarham Shahril Samad, 41, yang mati dibelasah dengan tangan berikat selepas kemalangan di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor, minggu lalu puas hati selepas dapat melihat kesemua tertuduh yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Abang sulung mangsa, Shah Rizad Samad, 43, yang berada di perkarangan mahkamah berkata, beliau tidak pernah melihat wajah kelima-lima lelaki tersebut.

Shah Rizad yang datang bersama-sama adik-beradik lain menaruh harapan agar hukuman setimpal dikenakan selepas menyebabkan kematian adiknya, yang merupajan anak kedua daripada tujuh beradik.

“Memang saya puas hati dapat melihat mereka (tertuduh) hari ini. Dah lama kami sekeluarga nak lihat muka mereka.

“Kami tak harap banyak cuma dapat diselesaikan dengan segera. Mana – mana yang terlibat, moga hukuman setimpal dikenakan.

“Kami adik-beradik tidak boleh nak buat apa, bukan bidang kuasa kita untuk menentu mereka bersalah atau tidak termasuklah hukuman mereka,” katanya dalam nada sebak.

Tegas Shah Rizad, tiada individu berhak memukul adiknya hingga maut walaupun Allahyarham mempunyai kisah silam.

Katanya, apa pun yang berlaku sepatutnya  diserahkan kepada polis bukan membuat keputusan secara semberono.

“Sudah ikat (mangsa), kenapa nak pukul lagi? Diikat bagaimana nak lindungi dirinya? Kami (ahli keluarga) hadir ke mahkamah nak tengok muka tertuduh (kes bunuh Shahril) dengan jelas.

“Kami tak mengenali tertuduh, sebelum ini tak dapat tengok muka tertuduh. Kes ini tular dan kami tahu mengenai pertuduhan daripada media sahaja,” ujarnya. – MalaysiaGazette