Ahli Dewan Rakyat lafaz ikrar Rukun Negara pertama kali sebelum persidangan.

KUALA LUMPUR – Buat pertama kalinya, lafaz ikrar Rukun Negara bergema sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula hari ini.

Bacaan ikrar Rukun Negara itu diketuai Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin selepas bacaan doa.

Sementara itu, Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, memaklumkan lafaz ikrar Rukun Negara bertujuan memupuk semangat perpaduan, sekali gus menjauhi kebencian serta perkauman dalam kalangan rakyat.

Jelasnya, lafaz Rukun Negara sepenuhnya bermula mukadimah itu dibuat susulan keputusan Jemaah Menteri pada 25 Julai tahun lalu.

“Dalam negara berbilang kaum dan budaya seperti Malaysia, keharmonian antara rakyat adalah kunci kepada kemajuan dan kestabilan.

“Justeru, penting untuk kita menghayati dan mengamalkan nilai dalam Rukun Negara. Ia adalah langkah konkrit dalam menyatukan hati dan minda rakyat.

“Saya menyeru semua rakyat bersama menyokong insiatif ini dengan penuh semangat dan kesungguhan,” katanya dalam kenyataan di sini. – MalaysiaGazette