KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan Tun Daim Zainuddin dan keluarga untuk meminda dengan memasukkan beberapa perenggan dalam notis membatalkan tuduhan gagal isytihar harta yang dikenakan terhadap beliau dan isterinya, Toh Puan Na’imah bulan lalu.
Daim dan keluarga memohon demikian dalam permohonan kebenaran bagi memulakan prosiding semakan kehakiman mencabar siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Untuk makluman, pindaan yang dimohon oleh keluarga terbabit adalah berhubung notis Seksyen 36(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 terhadap Daim dan Na’imah.
Dalam permohonan asal pada 10 Januari lalu, Daim dan ahli keluarganya memohon mahkamah mengeluarkan perintah bagi SPRM dan pegawainya menghentikan semua siasatan terhadap mereka.
Ketika prosiding atas talian hari ini di hadapan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, Peguam Kanan Persekutuan, Liew Horng Bin berhujah permohonan sepatutnya permohonan untuk membatalkan pertuduhan terhadap tertuduh dan keluarganya wajar di buat di Mahkamah Jenayah bukannya di Mahkamah Sivil.
Malah kata beliau, ia juga tidak wajar dilakukan melalui semakan kehakiman.
Horng Bin menyatakan permohonan untuk menggantung prosiding sehingga semakan kehakiman itu diputuskan juga perlu dilakukan di Mahkamah Jenayah.
Hakim kemudian menetapkan 4 Mac ini bagi prosiding seterusnya.
Tun Daim mendakwa keluarganya termasuk dirinya di siasat selepas nama mereka disebut dalam Kertas Pandora bagaimanapun pada masa sama dakwa beliau, tiada tindakan dan siasatan dibuat terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang turut disebut dalam Kertas Pandora. -MalaysiaGazette