Risalah Program Jom Berkhemah Bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sempena Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024

KUANTAN – Penggemar aktiviti perkhemahan dan orang ramai dijemput menyertai Program Jom Berkhemah Bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sempena Ekspedisi Mahkota Mudik Sungai Pahang 2024 yang bermula 3 Mac ini.

Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, program perkhemahan itu akan diadakan pada 3 Mac ini di Tapak Rumah Warisan, Chenor, Maran dan 5 Mac pula di Kampung Gintong, Jerantut.

Beliau berkata, ia merupakan salah satu daripada banyak pengisian yang disediakan sepanjang empat hari program ekspedisi menghulu Sungai Pahang yang membabitkan enam daerah itu.

“Rakyat boleh berkhemah sekali bersama Tuanku, lagi-lagi sekarang masih cuti sekolah. Kalau nak bersama keluarga menyertai Tuanku berkhemah, boleh datang ke Maran dan Jerantut nanti.

“Mereka yang berminat untuk menyertai perkhemahan ini boleh mendaftar dengan Majlis Sukan Pahang (MSP) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) di daerah terlibat,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Exco Komunikasi Dan Multimedia, Belia, Sukan Dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Fadzli Mohamad Kamal

Beliau berkata, ekspedisi sejauh 381 kilometer itu merupakan acara julung kali diadakan dan akan bermula di Pekan Riverfront, Pekan dan berakhir di Kampung Tanjung Gahai, Lipis.

Menariknya, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sendiri dijangka akan menaiki bot kajang dan menongkah arus menghulu Sungai Pahang sepanjang ekspedisi yang akan disertai 17 bot lain.

“Tapi disebabkan cuaca agak panas dan air jadi cetek, aliran air mungkin akan berubah sikit dan akan jadi panjang sikit, tambah 10 kilometer lagi.

“Pihak bomba juga telah diminta untuk memantau dahulu keadaan laluan itu,” katanya.

Tambahnya, ekspedisi terbabit akan disertai 150 peserta terdiri daripada pelbagai agensi seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM), pasukan perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang dan wakil media. – MalaysiaGazette