KUALA LUMPUR – Semua Ahli Parlimen pembangkang mengambil keputusan keluar dari Dewan Rakyat pada sesi petang sebagai protes terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberi ‘slot’ menyampaikan ucapan tahniah kepada Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Mereka mendakwa tindakan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul membenarkan perdana menteri memberi ucapan itu yang tidak mematuhi peraturan mesyuarat.
Namun speaker tetap berkeras membenarkan slot untuk perdana menteri walaupun beberapa wakil pembangkang bangun membantah kerana menyifatkan ia sebagai suatu yang luar biasa kerana ia tiada dalam aturan mesyuarat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin juga memberi penjelasan sebelum Anwar memberikan ucapan dengan memaklumkan ia sepatutnya dilakukan lebih awal pada permulaan persidangan Dewan Rakyat pagi ini.
Pada sidang media pula, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan ia satu kejadian luar biasa kerana mereka tidak dimaklumkan mengenai slot diberikan kepada Anwar ketika perbahasan titah Seri Paduka Baginda sedang berjalan.
“Ini kezaliman majoriti. Hanya kerana mereka mempunyai majoriti, mereka melakukan apa yang mereka mahu tanpa mengikut prosedur yang telah ditetapkan sejak sekian lama,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh. – MalaysiaGazette