KUALA LUMPUR – Berkuat kuasa semalam, 26 Februari 2023, Skim Perubatan Madani akan diperhalusi untuk memberi tumpuan kepada daerah-daerah dan penerima tertentu bagi meningkatkan keberkesanan, kemampanan dan memaksimumkan impak skim ini.

Pelaksanaan perubahan utama kepada program ini akan tertumpu kepada 10 daerah yang ditetapkan iaitu Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Langat, Petaling Jaya, Klang (Selangor); Johor Bahru (Johor); Kinta (Perak), Timur Laut (Pulau Pinang); Kota Kinabalu (Sabah), dan Kuching (Sarawak).

ProtectHealth Corporation (ProtectHealth) berkata, dengan perubahan tersebut, kelayakan penerima Skim Perubatan Madani ini akan memberi fokus kepada isi rumah berdaftar di 10 daerah ini sahaja dan pesakit yang pernah menerima rawatan boleh menggunakan sehingga peruntukan skim ini digunakan sepenuhnya.

Klinik swasta Skim Perubatan Madani yang aktif di dalam daerah yang ditetapkan boleh terus menyediakan perkhidmatan skim ini, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Skim Perubatan Madani dilancarkan sejak 15 Jun 2023 dengan objektifnya untuk mengurangkan kesesakan pesakit di Jabatan Pesakit Luar dan Klinik Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di kawasan bandar

Bagi memastikan perubahan tersebut berjalan lancar kepada pesakit-pesakit yang menerima rawatan dan klinik swasta Skim Perubatan Madani yang beroperasi di luar daerah yang ditetapkan, klinik-klinik tersebut akan mempunyai masa sehingga 29 Februari 2024, untuk mengemukakan tuntutan tertunggak bagi pesakit yang telah dirawat.

ProtectHealth Corporation telah menghantar makluman kepada semua klinik swasta Skim Perubatan Madani yang terlibat.

Penghalusan ini penting bagi keberkesanan pelaksanaan skim ini dalam mencapai objektif utama skim ini.

Dengan memfokuskan sumber pada kawasan dan penerima tertentu, ProtectHealth komited untuk meningkatkan akses dan kualiti penjagaan kesihatan bagi mereka yang memerlukannya. – MalaysiaGazette