Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Selangor, Kamal Parli menemuramah pekerja asing ketika mengetuai Operasi Gegar terhadap buruh paksa dan pemerdagangan orang di kilang perabot sekitar Mukim Banting, Selangor. Foto SYADILA AMARI, 27 FEBRUARI 2024.

KUALA LANGAT – Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mengambil tindakan ke atas tiga majikan kerana gagal menyediakan penginapan yang kondusif dalam Ops Gegar di Kampung Olak Lempit, Banting di sini, hari ini.

Ketua Pengarah, Kamal Pardi berkata, ketiga-tiga majikan terbabit tidak mempunyai Perakuan Penginapan yang sah daripada pihaknya.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan, ketiga-tiga majikan didapati menggajikan tenaga kerja asing tetapi tidak menyediakan penginapan yang kondusif dan tidak mempunyai Perakuan Penginapan daripada JTKSM.

“Semakan yang dibuat juga mendapati para majikan ini tiada usaha untuk membuat sebarang permohonan bagi mendapatkan perakuan tersebut.

“Ini jelas melanggar perundangan perburuhan dan tindakan tegas
akan diambil.

“Kesalahan-kesalahan lain jika ada akan turut diambil tindakan sama selaras peruntukan perundangan yang dikuatkuasakan di bawah JTKSM,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Kamal, sepanjang Ops Gegar hampir dua jam itu mendapati, penginapan pekerja yang terletak bersebelahan kilang perabot kelihatan tidak terurus dan tiada pengudaraan yang baik.

“Untuk operasi hari ini, kita lihat tadi bagaimana perumahan pekerja yang disediakan majikan (kilang perabot) memang agak daif dengan semputnya, bersesak-sesak dan panasnya.

“Saya tanya kepada beberapa pekerja tadi, sebahagian daripada peralatan yang ada itu dibeli sendiri oleh pekerja termasuk kipas elektrik,” katanya.

Katanya lagi, JTKSM mahu memastikan majikan menjaga kebajikan pekerja, sama ada tempatan mahupun asing.

“Kalau ikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), perkara-perkara ini haruslah disediakan oleh pihak majikan.

“Apabila mereka digajikan, kita nak kebajikan mereka diberikan oleh pihak majikan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast