Alatan yang digunakan untuk membaca meter elektrik di Kedai Tenaga TNB Cheras, Selangor. foto arkib MalaysiaGazette

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 20 Mac depan sedia meneliti cadangan pengecualian kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) ke atas bil air dan elektrik.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, isu berkaitan kenaikan SST telah dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan sebelum ini.

“Perkara berkaitan kenaikan SST memang dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan dipengerusikan timbalan perdana menteri kira-kira dua minggu lepas, ada satu kertas khusus untuk kita lihat kesan dan impaknya.

“Perkara dibangkitkan Yang Berhormat Ayer Hitam kami akan bawa untuk dikaji dan bawa ke Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya.

Mengulas lanjut, Armizan memberitahu, melalui NACCOL juga, kerajaan memastikan setiap penggubalan dasar dan program yang dilaksanakan melalui kementerian dan agensi akan mempertimbangkan elemen kos sara hidup.

Selain penggubalan dasar dan program utama merentasi pelbagai kementerian, strategi dan pendekatan intervensi dan mitigasi juga dilaksanakan dalam menangani pelbagai isu berkaitan kos sara hidup, termasuk menggalakkan penglibatan pelbagai pemegang taruh, katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM58.1 bilion dalam Belanjawan 2024 untuk subsidi, insentif dan bantuan dalam menangani pelbagai isu dan kesan berkaitan kos sara hidup rakyat.

Inisiatif yang dilaksanakan melalui peruntukan tersebut tidak termasuk yang telah dan akan dilaksanakan oleh pihak lain seperti badan korporat melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan badan bukan kerajaan serta kerajaan negeri, katanya.

Antara inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan adalah seperti Program Jualan Rahmah Madani dan Jualan Agro Madani; Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara); Inisiatif FlySiswa dan Skim Harga Diskaun Tiket Musim Perayaan; Program MyLesen (B2, PSV, E DAN GDL); Pas Bulanan Tanpa Had My50; dan Skim Perubatan Madani.

“Senarai inisiatif keseluruhan akan dipaparkan melalui Portal Ihsan Madani yang akan dilancarkan pada 20 Mac 2024,” katanya menjawab soalan asal Dr Richard Rapu (GPS-Betong) yang ingin tahu sejauh mana inisiatif Naccol berjaya mencapai objektif menangani kos sara hidup rakyat serta jenis inisiatif tersebut. – MalaysiaGazette