KUALA LUMPUR – Harga eksport Malaysia pada Januari 2024 menurun 0.5 peratus daripada 148.0 mata pada bulan sebelumnya kepada 147.2 mata.

Begitu juga, harga import jatuh 0.1 peratus daripada 128.7 mata kepada 128.5 mata manakala terma perdagangan Malaysia juga merosot 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 114.5 mata.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport turun 0.5 peratus pada Januari 2024 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-2.8%), barang-barang keluaran kilang (-0.2%) dan alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.2%).

Namun begitu, indeks volum eksport naik 4.0 peratus selaras dengan kenaikan indeks minyak galian (+30.4%), barang-barang keluaran kilang (+9.6%) dan bahan kimia (+2.4%).

Indeks volum eksport pelarasan bermusim berkembang 16.1 peratus daripada 140.8 mata kepada 163.5 mata.

Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing bertambah 3.1 peratus dan 5.4 peratus.

Indeks nilai seunit import menurun 0.1 peratus pada Januari 2024, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-2.6%), bahan mentah tidak boleh dimakan (-0.3%) dan barang-barang keluaran kilang (-0.2%).

Sementara itu, indeks volum import naik 5.6 peratus pada Januari 2024 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kenaikan dalam indeks makanan (+20.8%), barang-barang keluaran kilang (+13.6%) dan minyak galian (+6.0%).

Indeks volum import pelarasan bermusim meningkat 9.8 peratus daripada 189.8 mata kepada 208.4 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit dan indeks volum import masing-masing berkembang 0.4 peratus dan 18.5 peratus.

Di samping itu, terma perdagangan Malaysia susut 0.4 peratus bulan ke bulan kepada 114.5 mata pada Januari 2024, didorong oleh penurunan indeks minyak & lemak binatang & sayur-sayuran (-1.3%), alat jentera & kelengkapan pengangkutan (-0.4%) dan minyak galian (-0.2%). Terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun naik 2.7 peratus daripada 111.5 mata pada Januari tahun lalu. – MalaysiaGazette