Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Datuk Mas Ermieyati Samsudin kekal sebagai Ahli Parlimen Masjid Tanah selepas Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan calon Barisan Nasional (BN) Abdul Hakim Abdul Wahid untuk membatalkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Panel tiga hakim terdiri daripada Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais memutuskan hakim Pilihan Raya tidak terkhilaf dalam dapatannya ketika menolak petisyen pilihan raya Abdul Hakim.

Ketika membacakan keputusan itu, Hakim Nallini berkata, peguam perayu berhujah hakim Pilihan Raya telah terkhilaf apabila gagal membuat kesimpulan daripada bukti yang ada atas kesalahan rasuah di bawah Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Bagaimanapun, peguam responden (Mas Ermieyati) berhujah sebaliknya. Perkara paling penting ialah istilah ‘mendorong mana-mana pemilih atau pengundi untuk mengundi atau menahan daripada mengundi’.

“Kami diminta membuat rumusan bahawa dorongan mengikut maksud Seksyen 10(a) boleh disimpulkan daripada tindakan pemberian wang semata-mata tanpa tambahan kepada pengundi selepas mengundi. Kami menegaskan bahawa sebarang tindakan pemberian wang untuk tujuan mengundi atau seumpamanya, adalah amalan keji dan tidak dibenarkan oleh mahkamah dalam apa jua keadaan,” katanya.

Hakim Nallini seterusnya berkata Seksyen 10 (a) secara jelas memerlukan bukti dorongan bermaksud bahawa pengundi perlu dipujuk atau dibawa untuk mengundi atau tidak mengundi dengan “tindakan” yang didorong atau dijanjikan pemberian wang atau pertimbangan lain.

“Dalam rayuan ini tidak ada bukti pengundi dipujuk atau dipengaruhi atau didorongkan untuk mengundi atau tidak mengundi atau mengundi dengan cara tertentu. Tidak ada bukti ekstrinsik yang boleh digunakan untuk mengandaikan dorongan sedemikian,” katanya.

Hakim Nallini juga mempersoalkan sama ada tindakan membayar wang kepada pengundi mempengaruhi keputusan mereka untuk mengundi, memandangkan pengundi telah mengundi dan tidak dijanjikan pembayaran atau menyedari  wang sedang diagihkan di belakang restoran.

“Dalam erti kata lain, ketiadaan sebarang bukti pemberian wang atau balasan lain pada bila-bila masa, sekarang atau masa akan datang, sebelum tindakan mengundi, bolehkah dikatakan bahawa pengundi telah didorong untuk mengundi oleh responden atau ejennya?

“Kami tidak fikir begitu. Ini kerana akta itu sendiri memerlukan unsur dorongan untuk dibuktikan. Tidak mungkin wujud suapan di bawah Seksyen 10(a) tanpa pembuktian unsur dorongan,” tambahnya. – BERNAMA