Gambar hiasan

SUBANG JAYA – Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) melaksanakan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi menstabilkan paras dua empangan di utara Semenanjung Malaysia.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi NADMA, Meor Ismail Meor Akim berkata, dua empangan yang menjadi sasaran pada operasi itu ialah Empangan Air Hitam di Pulau Pinang dan Empangan Bukit Merah di Perak.

“Ini merupakan hari kedua OPA ini dijalankan, tujuannya untuk pembenihan awan dan menjadikan hujan. Menjadi cabaran buat kita ialah (memastikan) hujan itu menjadi, tetapi tiupan angin yang membuatkan awan tersasar daripada sasaran kita, jadi kita harap operasi ini akan berjaya,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Tentera Udara di sini hari ini.

Operasi pembenihan awan pada hari ini, diketuai oleh juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Mej Khairil Azhar Ariffin bersama lapan anggota TUDM, selain masing-masing 15 petugas NADMA dan MetMalaysia.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Atmosfera dan Pembenihan Awan MetMalaysia, Dr Ahmad Fairudz Jamaluddin berkata, untuk OPA, pihaknya menggunakan empat tangki yang diisi 1,000 liter larutan air garam, dan penerbangan operasi akan bermula pada 2.30 petang ini.

“Kita menjangkakan pada waktu itu, (2.30 petang) akan ada awan terbentuk serba sedikit di utara Semenanjung, selain kita kena pastikan awan itu ada dan kelembapan atmosfera yang sesuai untuk membentuk awan yang terbaik,” katanya.

Ahmad Fairudz berkata, pihaknya sentiasa berusaha untuk memastikan keadaan paras empangan di negara ini dalam keadaan stabil. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast