SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor dijangka akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM400,000 setiap seorang kepada 22 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.
Menurut sumber kerajaan negeri yang enggan dikenali, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.
Bagaimanapun berita berkaitan peruntukan itu kemungkinan besar akan mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pimpinan dan penyokong Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan Perpaduan.
“Ini kerana pelbagai serangan dan dakwaan melampaui batas sudah dilakukan oleh rata-rata pimpinan Perikatan Nasional (PN) sejak akhir-akhir. Kemudian beri pula peruntukan sebanyak ini, adakah ia akan digunakan untuk perkasakan rakyat di Selangor?
“Lepas PN menang 22 kerusi, PH berharap tidak ada peruntukan untuk pembangkang lagi-lagi apabila PN banyak menyebarkan isu-isu perkauman sehingga perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum seperti retak menanti belah.
“Kita tidak sangka keputusan untuk berikan pembangkang peruntukan tinggi seperti ini sehingga cecah RM400,000 walhal pada awal perbincangan hanya sekitar RM300,000 sahaja. Ingatkan kerajaan negeri juga akan bertegas seperti kerajaan pusat dalam pemberian peruntukan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut sumber itu, kerajaan pusat di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sewenang-wenangnya memberikan peruntukan besar kepada wakil rakyat pembangkang sebaliknya mengikut ‘kriteria’.
“Adalah penting untuk tengok sikap pembangkang ini, jika main beri sahaja kemudian mereka gunakan dana itu untuk terus lakukan serangan terhadap kerajaan, itu tidak baik. Kerana itu juga kita tengok PM sangat bertegas, hanya beri kepada yang beri sokongan dan ikhlas dalam bantu rakyat.
“Kalau kerja hanya membangkang semua inisiatif yang dibuat untuk rakyat, apa guna beri juga dana kepada pembangkang? Adakah untuk mereka perkasakan diri mereka untuk terus lawan kita dan bukannya menggunakan untuk menjaga kebajikan rakyat?
“Kerana itu juga kita rasa sedikit terkilan jika Selangor hendak beri peruntukan sehingga RM400,000 kepada wakil rakyat pembangkang,” tegasnya. – MalaysiaGazette