Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR-  Polis berjaya memberkas enam lagi suspek yang diburu dalam kes membabitkan tujuh warga asing disamun empat suspek bersenjata  yang menyamar polis  di Pandan Indah di sini pada 24 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, enam tangkapan terbaharu itu terdiri daripada dua lelaki dan empat wanita.

“Bertindak atas maklumat pada 26 hingga 27 Februari lalu sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya telah membuat tangkapan susulan ke atas dua lelaki, empat wanita termasuk dan  warganegara asing berusia 36 hingga 50 tahun di sekitar  Kuala Lumpur.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas keenam-enam suspek polis berjaya membuat rampasan enam telefon bimbit, satu rantai leher dan dua cincin warna kekuningan disyaki barang samun bagi membantu siasatan lanjut.

“Modus operandi suspek adalah berperanan menawarkan kerja jenayah samun pada suspek yang lain dan menjadi orang tengah bagi mendapatkan pembeli barang kemas yang disamun,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azam, semakan lanjut pihaknya mendapati empat suspek  mempunyai enam hingga 16 rekod jenayah lampau termasuk salah seorang mempunyai satu rekod dikehendaki kesalahan jenayah manakala dua suspek warganegara asing tiada sebarang rekod lampau.

Hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan dapati kesemua suspek positif dadah jenis Methaphetamine dan Amphetamine.

“Kesemua tangkapan telah dibawa ke Mahkamah Majistret Ampang dan dibenarkan selama seminggu bermula semalam sehingga 4 Mac depan bagi membantu siasatan lanjut polis,” tegasnya.

Tegas Mohd Azam, dalam kejadian sebelum ini polis menerima aduan dari lelaki warga Bangladesh pada 22 Februari lalu lebih kurang 9 malam mengenai insiden samun.

Katanya, semasa pengadu berada di rumah telah datang enam lelaki tidak dikenali memakai vest dengan membawa gunting besar dan tukul serta beritahu mahu membuat operasi.

“Setelah kesemua suspek masuk ke dalam rumah, pengadu serta tujuh mangsa yang lain warganegara asing telah diminta duduk di ruang tamu rumah dan dijaga oleh dua orang suspek.

“Suspek lain kemudian telah menyelongkar setiap bilik di rumah tersebut dan mengambil wang tunai, barang kemas, telefon bimbit dan dokumen peribadi milik pengadu dan rakan-rakannya seterusnya beredar dari rumah mangsa dengan menaiki kenderaan,” ujar beliau.

Menurutnya, hasil maklumat dan risikan polis berjaya menahan empat lelaki tempatan berusia 30 tahun hingga 44 tahun di sekitar Kuala Lumpur dalam serbuan antara 1.30 tengah hari hingga 9.30 malam pada 24 Februari lalu dan merampas 31 telefon bimbit, vest tulisan ‘polis’, pakaian, tukul besi, kuku kambing, spanar, playar, wang tunai dan tiga kenderaan bagi membantu siasatan.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan rompakan berkumpulan dengan bersenjata serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan.

“Kes juga disaisat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan merujuk kepada menyamar penjawat awam yang membawa hukuman pemenjaraan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau denda atau kedua-duanya,” tegasnya.- MalaysiaGazette