KUALA LUMPUR – Sebuah pusat penjagaan dan merawat ibu bersalin diserbu dalam satu operasi penguatkuasaan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Bandar Bukit Raja.

Pengarah Komunikasi Korporat, Norfiza Mahfiz berkata, serbuan yang dijalankan Jabatan Pelesenan dan Jabatan Penguatkuasa itu berdasarkan hasil risikan Majlis serta maklumat orang awam.

Menurutnya, siasatan selanjutnya di lokasi mendapati premis beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah dari Majlis serta ia merupakan kediaman yang dijadikan premis perniagaan.

“Satu kompaun diserahkan kepada wakil syarikat iaitu pekerja di atas kesalahan beroperasi tanpa lesen di bawah UUK3 (1) Undang Undang Kecil Pusat Kecantikan Dan Penjagaan Kesihatan (MPK) 2013.

“Ini kesalahan yang serius kerana ia melibatkan bayi dan ibu yang melahirkan anak serta mendatangkan risiko jika berlaku kecuaian atau sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, kedua-dua jabatan juga telah menyerbu premis industri yang beroperasi tanpa lesen serta menyebabkan kacau ganggu di Jalan Haji Abdul Manan.

Tambah Norfiza, dua kompaun di bawah UUK3 Undang Undang Kecil Pelesenan Tred Perniagaan Dan Perindustrian (MPK) 2007 kerana beroperasi tanpa lesen yang sah.

“Penguatkuasaan seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa dan kita tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang ingkar dalam
mematuhi peraturan yang telah ditetapkan,” tambahnya. – MalaysiaGazette