Himpunan Selamatkan Malaysia Akmal Saleh
Dr Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim disarankan supaya memecat Datuk Seri Tiong King Sing daripada jawatan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh mendakwa King Sing tidak sensitif dalam membuat beberapa keputusan.

Antaranya mengiktiraf sup babi yang diselitkan dengan herba aromatik dan rempah ratus, bak kut teh sebagai hidangan warisan negara.

“Daripada mengiktiraf bak kut teh menjadi hidangan warisan negara lebih baik mengiktiraf makanan lain seperti nasi goreng Cina dan banyak lagi makanan yang boleh dimakan oleh semua rakyat di negara ini tidak kira kaum mahupun agama.

“Jika menteri tidak boleh nak berfikir sensitiviti rakyat Malaysia dan apakah relevannya dalam membuat keputusan, sudah tiba masanya kita mohon agar PMX untuk pecat sahaja menteri,” katanya dalam kenyataan.

Muhamad Akmal berkata, alasan pemecatan King Sing adalah sama dengan tindakan beliau menurunkan pangkat Datuk Dr Ammar Abd Ghapar sebagai Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

Beliau mendakwa, King Sing merupakan menteri yang paling tidak menunjukkan prestasi dalam sejarah.

“Kerana jika KP Pelancongan diturunkan pangkat sebab prestasi merosot maka alasan yang sama boleh digunakan kepada menteri yang bukan sahaja merosot tetapi menteri yang paling teruk dalam sejarah. Menteri kong ka li kong lebih baik letak jawatan!” kata beliau.

Media sebelum ini melaporkan King Sing menurunkan pangkat Ammar kepada Timbalan Ketua Pengarah.

Keputusan itu dibuat berdasarkan faktor kemerosotan prestasi Ammar, disifatkan beliau sebagai tidak memuaskan, selain tidak mencapai standard ditetapkan walaupun telah beberapa kali dinasihat dan diberikan peluang.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, King Sing berkata, tiada libat urus dengan pemain industri juga menjadi antara punca pegawai itu diturunkan pangkat.

Tempat Ammar digantikan Manoharan Periasamy yang merupakan bekas Pengarah Tourism Malaysia India.

Sementara itu pengumuman bak kut teh sebagai Warisan Negara juga mencetuskan kontroversi kerana ia didakwa tidak mengambarkan makanan yang dinikmati semua kaum di negara ini.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast