Monday, October 28, 2024
Home Seni Hidup Anwar luang masa di KEB 2024

Anwar luang masa di KEB 2024

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir mendengar Diskusi Madani 1 pada Kongres Ekonomi Bumiputera di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 29 FEBRUARI 2024.
KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa meninjau perjalanan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang bermula hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini.
Ketibaan Perdana Menteri pada kira-kira 4 petang di PICC disambut oleh Pengerusi MARA, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki sebelum beliau mengikuti sesi Diskusi Madani bertajuk ‘Aspirasi Perpaduan Memperkukuh Agenda Bumiputera.’
Sesi itu menampilkan tiga anggota panel iaitu Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani; Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong serta Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R. Ramanan.
Anwar memilih untuk mengikuti sesi itu di tempat duduk media berbanding tempat duduk kenamaan seperti kelaziman sebelum melawat reruai yang disediakan sepanjang KEB 2024.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan usahawan dan melawat tapak pameran pada hari pertama Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 di Putrajaya International Convention Centre (PICC), Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 29 FEBRUARI 2024.
Sepanjang tempoh hampir sejam itu, beliau turut meninjau produk tempatan yang dipamerkan selain menikmati kopi jenama tempatan bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di reruai MARA.
Pagi tadi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam ucaptama perasmian KEB 2024 hari ini mencadangkan pelaksanaan Transformasi Ekonomi Bumiputera sebagai satu dasar untuk mengorak langkah ke hadapan.
KEB 2024 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini membabitkan pembentangan dapatan Sesi Libat Urus meliputi 10 kumpulan
.
Kumpulan terbabit ialah Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Pilihan Kerjaya Utama; Pengukuhan Industri Halal; Pembangunan Desa dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli; Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah; Sosioekonomi Bumiputera Sabah serta Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.

Ia dianjurkan bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Majlis Amanah Rakyat (Mara). – MalaysiaGazette