KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) akan melakukan sesi temubual untuk mengenal pasti individu yang layak bagi mengisi kekosongan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya akan memilih individu yang selari dengan kehendak dan keperluan LTAT khususnya dalam menjaga kebajikan pesara tentera.
“Kita ada proses, untuk CEO kita akan lakukan pengesanan, saringan dan kita akan pilih yang kita rasa selari dengan kehendak dan keperluan kita,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Terdahulu beliau hadir ke Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang 2024 di Hotel Premiera, di sini.
Sebelum ini, media melaporkan tiga pegawai kanan pengurusan LTAT meletakkan jawatan mereka kira-kira sebulan lalu dalam tabung persaraan untuk 120,000 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) itu.
Isu terbabit bermula apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman mengumumkan pengundurannya berkuat kuasa 31 Januari lalu.
Kemudian, Pengerusi LTAT, Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pula mengumumkan peletakan jawatannya selang seminggu berikutnya.
Terkini, Pengarah Kanan Strateginya, Dayana Rogayah Omar turut dilaporkan mengemukakan surat peletakan jawatannya itu bagi mengejar kepentingan lain. – MalaysiaGazette