Amir Hamzah Azizan
Amir Hamzah Azizan

KUALA LUMPUR – Kerajaan yakin ringgit akan menunjukkan prestasi lebih baik tahun ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Keyakinan itu berdasarkan kepada pertumbuhan ekonomi lebih kukuh pada tahun 2024 di antara 4.0% hingga 5.0% berbanding pertumbuhan ekonomi 3.7% tahun 2023.

“Pengukuhan pertumbuhan disokong unjuran terkini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang menunjukkan perdagangan global akan meningkat daripada 0.4% pada tahun 2023 kepada 3.3% tahun 2024,” katanya bagi menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng (DAP).

Guan Eng meminta kerajaan menyatakan tentang faktor-faktor yang menyebabkan penurunan ringgit yang tidak mencerminkan petunjuk prestasi ekonomi negara yang menggalakkan, nyatakan kesan negatif, serta apakah langkah-langkah kewangan yang boleh diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menghindar ringgit terus susut nilai.

Selain itu, kadar pengangguran telah turun kepada 3.3% pada suku keempat 2023 selaras dengan tahap sebelum krisis Covid-19.

Tambahnya, kadar inflasi menurun ke 1.6% suku keempat 2023 daripada 2.0% suku ketiga, iaitu antara terendah di Asia.

Malah, prestasi eksport telah menunjukkan pemulihan kukuh bulan Januari 2024 meningkat 8.7% selepas menguncup selama sepuluh bulan sebelum ini.

Menurut Amir, prospek pelaburan juga sangat baik yang mana pada tahun 2023, pelaburan yang diluluskan mencapai RM329.5 bilion iaitu
pencapaian tertinggi dalam sejarah.

“Usaha ini akan digandakan ke arah memudahcarakan perniagaan dan menyegerakan pelaksanaan pelaburan bagi memacu pertumbuhan tahun ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette