Paparan mushaf Al-Quran yang menggunakan teknologi AR.

KUALA LUMPUR – Keindahan manuskrip al-Quran Terengganu yang berabad-abad lamanya kini boleh dihayati sepenuhnya melalui platform digital.

Kehalusan seni yang dihasilkan pada mushaf Al-Quran boleh dilihat menerusi teknologi Augmented Reality (AR) di Pusat Pengalaman Canggih Portal My5G Kuala Lumpur.

Manuskrip al-Quran Terengganu versi AR itu hasil penyelidikan yang dijalankan oleh penyelidik UMT, Dr. Riswadi Azmi dan dibangunkan oleh Digital Nasional Berhad (DNB) dengan sokongan syarikat telekomunikasi Ericsson sebagai rakan kongsi utama.

“Manuskrip Al-Quran yang diakui paling indah di Asia Tenggara kerana warna yang kekal indah, penggunaan emas pada iluminasi dan kaligrafi yang tekal kini tersimpan rapi di muzium”. Ujar Dr. Riswadi yang juga sebagai Pengarah Pusat Islam Sultan Mahmud UMT ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, mushaf Al-Quran yang asal perlu dijaga dan di ‘rawat’ selain tidak boleh disentuh untuk menjaga kualiti naskah tersebut.

“Mushaf asal sememangnya dijaga rapi dan kebiasaanya tidak dibenarkan disentuh kerana ia akan merosakkan fizikal artifak berharga ini.

“Inisiatif ini merupakan usaha PISM UMT membangunkan manuskrip berharga itu versi digital dengan menggunakan teknologi Augmented Reality (AR) agar ‘aset’ tersebut boleh dijadikan rujukan, dihayati dan digunakan untuk tujuan lain tanpa merosakkan naskah asal”

Menurutnya, cetusan idea terhasil ketika beliau mengikuti Program CEO @ Fakulti yang juga merupakan program inisiatif Kementerian Pengajian Tinggi di syarikat telekomunikasi Ericsson.

“Progam ini menghimpunkan CEO serta pemain industri tempatan dan antarabangsa untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman kepada warga universiti di Malaysia selain memberi peluang kepada kakitangan akademik berbakat untuk menjalani program sangkutan industri.

Menurutnya, inisiatif meletakkan manuskrip AR Terengganu dalam Portal My5G yang berada dalam Menara Exchange 106 di Tun Razak Exchange (TRX) bagi memperkenalkan keupayaan digital dalam pemprosesan data lama kepada pengunjung.

“Pendigitalan adalah mengenai kecekapan, kebolehcapaian dan inovasi. Penggunaannya membolehkan komunikasi yang lebih cepat, akses yang lebih luas kepada maklumat dan pembangunan teknologi luar biasa.

Sementara itu, Presiden Ericsson Malaysia, David Hägerbro berkata, pendigitalan manuskrip adalah kaedah yang ideal untuk memaparkan dan memulihara keindahan seni terdahulu.

“Seni kaligrafi berserta hiasan motif yang teliti dihasilkan artis terdahulu perlu digabungkan dengan teknologi digital bagi memudahkan diakses dan dilihat oleh generasi kini berkaitan sejarah masa lalu dan juga jangkaan masa depan.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar menyokong usaha negara melobi pengiktirafan manuskrip al-Quran Terengganu sebagai Memori Dunia UNESCO.

“UMT telah merangka pelbagai inisiatif dalam bidang pendidikan, pemuliharaan dan pendigitalan untuk mempromosikan warisan ini ke peringkat global di samping usaha pemeliharaannya,” kata beliau.

Galeri Portal My5G juga mengetengahkan pelbagai inisiatif pembangunan 5G di Malaysia, merangkumi pendidikan, keselamatan, sukan, kesihatan dan lain-lain. – MalaysiaGazette