Gambar hiasan

PULAU PINANG – Orang ramai yang ingin menukar mata wang asing dilaporkan perlu menunjukkan kad pengenalan atau pasport walaupun jumlah pertukaran hanya RM1.

China Press melaporkan, pengurup mata wang memberitahu, langkah itu diambil atas arahan Bank Negara sejak awal bulan Februari.

Difahamkan, sebelum ini, orang ramai hanya perlu menunjukkan dokumen pengenalan jika jumlah transaksi melebihi RM3,000.

Langkah baharu bagaimanapun mengkehendaki dokumen identiti ditunjukkan dalam setiap transaksi, tanpa mengira jumlah duit.

Pekerja syarikat pertukaran wang pula mengakui langkah baharu itu menambahkan beban kerja.

“Kami perlu memasukkan maklumat peribadi iaitu nama dan nombor MyKad atau nombor pasport ke dalam sistem. Kami bagaimanapun tidak akan mencetakkan dokumen mereka,” kata seorang pekerja.

Baru-baru ini, Gabenor Bank Negara, Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ringgit pada masa ini sewajarnya diniagakan pada tahap yang lebih tinggi.

Katanya, Bank Negara sedang meningkatkan perbincangan dengan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan, syarikat korporat dan pelabur untuk menggalakkan aliran masuk yang berterusan ke dalam pasaran pertukaran asing.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula berkata, Bank Negara telah dipertanggungjawabkan untuk memantau ringgit secara rapi.
Kata Anwar, di pihak kerajaan, semua kementerian dan pihak berwajib, termasuk majlis pelaburan mengadakan mesyuarat harian bagi memberi tumpuan menangani isu mengenai nilai ringgit yang jatuh.