KUALA LUMPUR – Isu penurunan nilai mata wang ringgit dan jumlah simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat melalui laman rasmi Parlimen, Lim Guan Eng (PH-Bagan) bertanyakan Menteri Kewangan mengenai faktor-faktor menyebabkan penurunan nilai mata wang ringgit yang tidak mencerminkan petunjuk prestasi ekonomi negara yang menggalakkan, pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT).
Dalam sesi soal jawab pula, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) meminta Menteri Kewangan menyatakan usaha kerajaan untuk mengatasi masalah 35 peratus ahli KWSP berumur 54 tahun yang simpanan hari tua mereka berada di bawah RM10,000.
Usai sesi soal jawab, sidang Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja.
Berdasarkan takwim menerusi laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung 19 hari dengan perbahasan Titah Diraja oleh Ahli-ahli Parlimen dari 27 Feb hingga 7 Mac, diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 11 Mac.
Pembentangan serta perbahasan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain akan berlangsung pada 18 hingga 27 Mac ini. – BERNAMA