KUALA LUMPUR – Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) hari ini memohon maaf kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim setelah salah menyebut nama baginda.
Azman membuat permohonan maaf secara terbuka terkhilaf dengan menyebut ‘Sultan Iskandar’ semasa perbahasan mengenai usul menjunjung kasih terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim semalam.
“Terlebih dahulu, saya saya ingin memohon keampunan dan kemaafan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas kekhilafan dan kesilapan saya semasa menyampaikan ucapan saya petang semalam.
“..kerana telah menyebut Ke bawah Duli Yang Maha Mulia, Sultan Iskandar Ibni Sultan Ibrahim.
“Sepatutnya Ke Bawah Duli Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Saya berikrar, kekhilafan seperti ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan,” katanya kepada Dewan Rakyat, hari ini.
Semuanya bermula apabila Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul memanggil Azman untuk berdiri memohon maaf kepada Sultan Ibrahim.
“Pada semalam 28 Februari 2024 semasa berucap, YB (Yang Berhormat) Padang Serai telah salah menyebut nama Tuanku Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Kesalahan ini amat serius kerana ianya diucapkan dalam dewan. Saya sebagai Speaker yang bertanggungjawab tidak kira sebelah kiri atau sebelah kanan mesti bertanggungjawab atas kesalahan-kesalahan yang telah YB sebut.
“Untuk itu, saya dengan ini memerintahkan YB bangun, memohon maaf kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya.
Johari mengatakan ini adalah kesalahan serius kerana ia disebut dalam Parlimen.
Beliau juga mengingatkan para MP agar tidak melanggar garis pada beberapa isu tertentu, terutamanya apabila berkaitan dengan cara menyebut nama Bangsawan Melayu.
“Semoga ini menjadi pengajaran dan tidak lagi berulang,” katanya.
Sidang Dewan Parlimen diteruskan selepas itu dengan sesi soalan lisan. – MalaysiaGazette