Shahrulnizam Ja’afar menunjukkan jus dadah yang dibungkus dalam paket menyerupai 'boarding pas' .

PETALING JAYA – Polis Petaling Jaya membongkarkan sindiket yang memproses jus dadah berperisa buah-buahan dan menggunakan bungkusan menyerupai ‘pas pesawat’ syarikat penerbangan tambang terendah negara.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar@Ismail berkata, kegiatan itu terbongkar dalam serbuan di sebuah apartmen mewah di Sungai Way pada 23 Februari lalu, kira-kira jam 10,40 malam.

“Pemeriksaan dalam unit mewah apartmen itu menemui satu kotak berwarna coklat yang mengandungi lima paket lutsinar tertulis ‘diamond’  yang disyaki mengandungi dadah pil ekstasi, dua paket lutsinar disyaki ketamin, 28 keping plastik lutsinar aluminium disyaki pil Erimin 5 dan 304 paket mengandungi serbuk ekstasi.

“Polis juga merampas beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk memproses serbuk jus dadah antaranya lima alat pengisar kopi, dua gunting, dua sealer, dua penimbang digital dan enam plastik lutsinar mengandungi paket plastik kosong,” katanya dalam sidang media pagi tadi.

Serbuan terbabit berjaya menangkap seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun yang disyaki menjadi dalamg utama dan terlibat dalam kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah.

ACP Shahrulnizam bersama pegawainya menunjukkan alat pengisar antara peralatan proses dadah dirampas polis dalam kejayaan menumpaskan sindket dadah mengedar dalam bungkusan “boarding pass” pesawat ke kelab malam dalam serbuan di Sungai Way 23 Februari lalu.
ACP Shahrulnizam menunjukkan barangan rampasa dalam serbuan yang dilakukan di Sungai Way baru-baru ini.

Tambah beliau, anggaran keseluruhan rampasan dadah seberat 5.2 kilogram berjumlah RM406,309.

Polis turut menyita wang tunai RM320 dan sebuah iPad Apple RM2,500.

“Sindiket ini menggunakan modus operandi baharu dengan mengisar dadah menjadi serbuk sebelum dicampur dengan serbuk perisa buah-buahan.

“Serbuk itu kemudian dimasukkan dalam paket kecil dicetak gambar adiwira Superman, Ironman, Captain America dan Batman dengan sukatan 105 gram sebelum dibungkus dengan paket menyerupai “boarding pass” pesawat milik syarikat penerbangan tambang murah terkemuka negara.

“Dadah yang siap dibungkus itu akan diedarkan ke sekitar Lembah Klang dan dijual di kelab malam pada harga RM250 sepaket di ibu negara dan RM150 sepaket di luar kelab,” katanya.

Lakaran wajah suspek kedua bernama Wong Kein Lim,31 yang sedang diburu polis membantu siasatan.

Shahrulnizam berkata, suspek aktif dalam kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah berkenaan sepenuh masa selama dua tahun dan menyewa apartmendengan kawalan keselamatan pada kadar RM1,300 sebulan bagi menjalankan kegiatan ini.

Suspek yang menjalani ujian saringan air kencing disahkan positif dadah jenis Benzo dan semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Lelaki ini telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan lanjut polis sementara seorang lagi rakan suspek bernama Wong Kein Lim,31, yang disyaki menghuni bersama suspek di unit itu sedang diburu polis.

“Polis sedang menyiasat sumber perolehan bekalan dadah. Kertas siasatan dibuka dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast