GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pemalsuan pelbagai dokumen warga asing khsususnya membabitkan etnik Rohingya selepas menahan 14 individu pada 14 Februari lalu.
Bertindak atas maklumat dan risikan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Cawangan Khas Pulau Pinang telah melakukan 16 serbuan di sekitar Bukit Mertajam, Butterworth serta Arau, Perlis.
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, seramai 14 individu yang terdiri daripada 11 etnik Rohingya termasuk dalang utama sindiket dan tiga warga tempatan berusia antara 18 hingga 63 tahun ditahan menerusi Op Pintas Mega itu.
Jelas beliau, hasil siasatan awal mendapati sindiket tersebut aktif sejak dua tahun lalu membuat serta menjual dokumen palsu bernilai antara RM150 hingga RM1,000.
“Dalang sindiket ini merupakan lelaki Rohingya berusia 63 tahun yang mana dia dipercayai telah menetap di negara ini lebih 10 tahun.
“Modus operandi sindiket adalah membuat pelbagai dokumen palsu termasuk kad Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHCR), kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta pasport negara Myanmar sebelum diberikan kepada ejen untuk dijual kepada pelanggan etnik sama menerusi aplikasi WhatsApp.
“Semakan juga mendapati setakat ini sindiket berkenaan telah menjual kira-kira 700 keping kad UNHCR dan anggaran keuntungan sebulan mencecah RM30,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang (IPK), hari ini.
Turut dirampas dalam serbuan terbabit adalah pelbagai dokumen palsu termasuk 20 keping kad UNHCR, i-Kad, kad CIDB, pasport Myanmar (13), lesen memandu Malaysia (4) serta 11 kenderaan termasuk lapan motosikal.
Difahamkan, dalang utama sindiket itu yang menetap di Bukit Mertajam menjadikan sebuah flat di Butterworth sebagai makmal untuk memproses dokumen palsu tersebut.
Tambah Mohamed Usuf, siasatan lanjut pihaknya mendapati dua lelaki tempatan yang ditahan dalam kes itu berperanan sebagai orang tengah untuk sindiket mendaftarkan kenderaan atas nama mereka.
“Sebanyak 477 kenderaan didaftarkan atas nama lelaki tempatan berusia 57 tahun manakala 247 atas nama lelaki berumur 63 tahun.
“Semakan kita mendapati kebanyakan kenderaan termasuk motosikal itu dibeli secara tunai sebelum dijual atau disewakan sindiket untuk kegunaan warga asing di sekitar utara tanah air.
“Kita tidak menolak kemungkinan pelbagai kemudahan yang disediakan dengan bantuan warga tempatan menarik pendatang asing tanpa izin (Pati) datang ke sini,” katanya.
Mengulas lanjut Mohamed Usuf berkata, kesemua tangkapan direman selama 28 hari mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 bermula 15 Februari lalu.
“Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 26A Atipsom 2007.
“Selain itu, kita juga kini sedang memburu seorang ejen sindiket berkenaan yang dikenali sebagai Sara Moghul Husin bagi membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette