JOHOR BAHRU – Seramai 4,398 individu termasuk 15 penjawat awam telah ditahan dalam Op Pemutihan/Op Tapis di Johor sepanjang tempoh dua bulan pertama tahun ini.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar berkata, kesemua 15 penjawat awam tersebut ditahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana positif urin.
Dalam operasi itu juga seramai 624 individu berstatus orang dikehendaki (wanted person) termasuk 66 tokan turut ditahan dan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas-LLPK) 1985.
“Objektif operasi yang dilancarkan di seluruh negeri adalah untuk mengambil tindakan ke atas semua aktiviti penyalahgunaan dadah dengan menyasarkan kawasan-kawasan panas (hotspot) dadah di Felda, projek perumahan rakyat (PPR), kawasan perumahan kos rendah, jeti nelayan, mobile pot dan lain-lain lokasi yang menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, menurut Kumar, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor dengan kekuatan seramai 13 pegawai dan 91 anggota telah melancarkan Op Pemutihan/Op Tapis melibatkan 13 daerah di seluruh Johor mulai 1 Januari hingga 29 Februari 2024.
Jelas beliau, sehingga 29 Februari 2024, seramai 8,273 individu telah diperiksan dan 4,451 daripadanya yang berusia 18 hingga 70 tahun telah ditangkap atas pelbagai kesalahan dadah melibatkan 485 bagi kes bekalan.
Sementara itu, seramai 954 individu didapati memiliki dadan dan seramai 3,012 penagih yang mana 209 daripadanya merupakan warga asing.
“Dalam operasi itu kami (polis) berjaya merampas dadah jenis heroin dengan anggaran berat 5,728 gram, syabu 90,651.43 gram, ganja 11,768.93 gram, serbuk ektasi 43,010.74 gram, pil ektasi dengan numlah 1,646 biji dan pil erimin 5 5,680 biji.
“Selain itu, turut dirampas ketamin 1,523.18 gram, pil yaba 1,206 biji, air ketum 1,027.75 liter, daun ketum 35,955.29 gram yang dianggarkan bernilai RM6.98 juta dan boleh digunakan oleh seramai 601, 068 penagih jika kesemua barangan tersebut terlepas ke pasaran,” katanya.- MalaysiaGazette