ISKANDAR PUTERI – Pelumba Johor Darul Ta’zim (JDT) Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah menyasar naik podium pada perlumbaan sulung Asia Road Racing Championship (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, di Buriram, Thailand, 17 Mac ini.
Pelumba berusia 29 tahun itu yakin dengan jentera Ducati yang ditunggangnya untuk kategori Asian Superbike 1000cc (ASB 1000) dapat memenuhi sasaran tersebut walaupun terdapat suara sumbang mengenai penyertaaannya dalam ARRC.
“Sudah pasti ramai yang meletakkan harapan dan sasaran kepada saya kerana pengalaman saya (dalam MotoGP).
“Walaupun saya ada pengalaman tetapi bila saya beralih kepada Asia Pasific Racing Championship, ramai mengatakan saya turun pangkat. Pada saya, ini perjalanan bersama saya dan JDT,”
“Untuk apa saya malu. Malah perasaan saya ketika ini lebih bangga dan teruja kerana dapat menyertai dan membawa nama yang begitu terkenal,” katanya pada media ketika di Ibu Pejabat Kelab Bola Sepak JDT, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Hafizh mengakui terdapat persaingan yang akan mencabar JDT Racing Team.
Berikutan itu, beliau tidak memandang ringan perkara tersebut kerana sedar persaingan akan datang daripada juara ASB 1000 musim lepas, Markus Reiterberger, Zaqhwan Zaidi dan pelumba senior negara, Azlan Shah Kamaruzaman.
JDT Racing Team bakal memulakan saingan ARRC 2024 di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand pada 15 hingga 17 Mac ini. – MalaysiaGazette