Program ilmuan Halaqah akan muncul sebanyak 13 episod bermula 15 Mac ini.

KUALA LUMPUR – Program ilmuan popular, Halaqah kini kembali dengan nafas baharu dan muncul dengan teknologi hologram khas buat penonton setia yang menanti-nantikan kemunculan program ilmuan ini.

Penonton bakal disajikan dengan kandungan yang lebih segar dan menarik kerana setiap episod akan mengadaptasikan perkongsian teknologi terkini menggunakan kecerdasan buatan bermula 15 Mac ini, setiap hari Jumaat pada pukul 6 petang di TV3.

Stesen televisyen swasta itu dalam satu kenyataan memberitahu, istimewa sempena Ramadan ini, Halaqah dibawakan dengan kerjasama Akademi Al-Bayan menerusi tema Rumah Kebijaksanaan, 1 Agama Pelbagai Bangsa.

Ia akan menampilkan tiga mesej utama melalui segmen-segmen menarik iaitu Kemajuan Zaman, Era Keemasan Abbasiyah dan Tugasan Mujaddid.

“Sepanjang 13 episod ini, penonton akan diberi penjelasan dan kupasan tentang topik menarik oleh barisan panel tetap Haji Ahmad Noor Sulaiman (siarawan), Datuk Dr. Danial Zainal Abidin (bintang ilmuwan), Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud (panel analisis) dan Ustaz Dr. Nur Mohammad Hadi Zahalan (bintang ilmuwan).

“Tentunya penonton tidak sabar untuk menantikan episod-episod yang akan datang kerana selain daripada topik yang menarik, ia juga menggandingkan hologram yang bersesuaian dengan topik.

“TV3 telah bekerjasama dengan Fakulti Multimedia, Kreatif & Pengkomputeran, Kolej Universiti Islam Selangor untuk teknologi hologram sekaligus menyelaraskan perkongsian dan gambaran daripada AI, manakala pakaian istimewa panelis bagi setiap episod pula hasil usahasama dengan Kolej Komuniti Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya stesen televisyen swasta itu.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Akademik Al-Bayan, Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan berkata, tema akademi itu iaitu Akademi Pelbagai Bangsa bertepatan dengan konsep Halaqah dalam memberi ruang secara luas bagi masyarakat memahami Ssjarah menerusi perbincangan ilmu.

Jelasnya, apa yang penting bagaimana akademi itu dapat menyusun atur gerakan dan strategi bagi anak-anak muda tidak terbuai dengan sejarah yang dibincangkan sebaliknya mahu memenuhi aspirasi melahirkan daei mualaf yang boleh bertutur dalam pelbagai bahasa.

Sebelum ini, Halaqah pernah menguasai tiga kategori di Anugerah Seri Angkasa 2022 menerusi Kategori Set TV Terbaik oleh Mohamad Izuan Munshid (Halaqah 2020), diikuti Kesan Khas TV Terbaik (Halaqah 2021) dan meraih Anugerah Khas Juri menerusi Halaqah Episod 7: Bencana, Muhasabahkah Kita?  – MalaysiaGazette