Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Penurunan nilai ringgit hingga kadar terendah sejak tahun 1998 dilihat akan memberi kesan negatif kepada kos sara hidup rakyat.

Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berpandangan, situasi semasa ini akan menaikkan kos sara hidup rakyat terutama bagi harga barangan makan import.

Lebih membimbangkan apabila Malaysia mengalami penurunan terendah berbanding negara Asia yang lain.

“Ekonomi Malaysia semasa ini melalui waktu yang mencabar berikutan ketidak tentuan ekonomi global yang pastinya diluar kawalan kita.

“Untunglah ekonomi domestik terus memacu ekonomi negara bagi tahun 2023 apabila jumlah ekspot negara mulai menurun sejak Februari tahun lalu, malah lebihan dagangan turut mengecil hingga sebesar RM10 billion.

“Kadar dasar semalaman (OPR) kembali kepada tiga peratus iaitu kadar sebelum pandemik Covid-19 berlaku, jumlah ini menyokong momentum kecairan tunai dalam pasaran yang mencukupi bagi ekonomi domestik.

“Namun penurunan nilai ringgit hingga kadar terendah sejak tahun 1998 iaitu RM4.80 memberikan kesan terutama barangan makanan yang diimpot bernilai hampir RM70 billion setahun. Yang merisaukan apabila nilai mata wang tinggi adalah yang turun paling banyak berbanding negara-negara jiran Asia Tenggara,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sehubungan itu, beliau berpendirian, kerajaan perlu merangka penyelesaian jangka masa pendek dan panjang untuk menangani situasi tersebut.

Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) boleh dipertanggungjawabkan secara khusus bagi mengkoordinasi isu kejatuhan nilai tinggi ini.

Tambah Dr Aimi, dalam masa yang sama, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) juga perlu dilibatkan untuk membantu menguatkan nilai ringgit dengan menggembeleng usaha dari sudut eksport.

“GLC dan GLIC yang pastinya mempunyai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) masing-masing kepada pemegang sahamnya iaitu kerajaan sendiri perlu digembeling untuk menguatkan nilai ringgit samada melalui pelaburan mereka di luar negara mahupun keuntungan dari ekspot yang didapati dari para pembeli luar,” katanya lagi.

Selain itu, Aimi berkata, sumber lain seperti simpanan rizab negara perlu diperkukuhkan bagi mengurangkan pergantungan terhadap satu sumber sahaja selain aliran pelaburan dipercepatkan.

“Pelaburan hampir RM380 bilion seperti yang telah diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) harus dilaksanakan dengan cepat, aliran dana pelaburan langsung asing (FDI) mesti dipercepatkan, juga keperluan seperti infrastruktur, sumber manusia sama ada berskil tinggi atau rendah mesti disiapkan. Kerjasama kerajaaan pusat dan negeri mesti dirapatkan untuk memberikan kelebihan kepada negara menarik FDI,” katanya.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui kejatuhan nilai ringgit agak membimbangkan dan kerajaan sedang memantau perkembangan terkini mengenai perkara tersebut.

Bagaimanapun, katanya, situasi ekonomi dalam negara tidak sama seperti yang berlaku tahun 1998, sebaliknya menjelaskan nilai pelaburan dalam negara adalah tertinggi yang pernah dicatatkan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast