Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Perjanjian antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs Group Inc (Goldman Sachs) berkaitan pemulihan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada 2020, dibuat dengan tidak terperinci serta tidak jelas, kata Pengerusi Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata perkara itu merupakan faktor syarikat berkenaan mengambil kesempatan untuk tidak mahu membayar jaminan pemulihan aset berjumlah US$1.4 bilion kepada kerajaan Malaysia.

“Pada 2020, kita buat settlement dulu, kita dibayar US$2.5 bilion kemudian dijanjikan nak bayar lagi US$1.4 bilion (pemulihan aset) tetapi perjanjian dibuat itu tidak terperinci.

“Jadi, mereka (Goldman Sachs) ambil kesempatan tidak mahu bayar sebab ia cakap kita dah kutip melalui Ambank iaitu denda sejumlah US$640 juta, jadi ditolak US$1.4 bilion itu. Kemudian, kita dah dapat lebih kurang dalam US$430 juta daripada DOJ (Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat).

“Selepas itu, Goldman Sachs tolak settlement kita dengan IPIC (International Petroleum Investment Company), kemudian katanya dah selesai, jadi kenapa syarikat itu perlu bayar US$1.4 bilion? Kita kata tidak, US$1.4 bilion itu ialah pemulihan bukannya denda. Ada pertikaian di situ kerana perjanjian tidak jelas,” katanya kepada Bernama.

Sebelum ini, Johari dilapor berkata perjanjian penyelesaian yang ditandatangani pada Ogos 2020 antara kerajaan Malaysia dan Goldman Sachs memerlukan syarikat itu membayar bayaran tunai US$2.5 bilion dan memberikan jaminan pemulihan aset sebanyak US$1.4 bilion kepada kerajaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata setakat ini, pasukan petugas berkenaan masih dalam proses mendapatkan arbitrasi atau timbang tara sebagai usaha menyelesaikan perkara itu.

Menurutnya, proses untuk memperoleh pemulihan aset US$1.4 bilion itu juga akan mengambil masa yang lama kerana bergantung kepada keputusan Goldman Sachs sama ada mahu melawan tuntutan kerajaan Malaysia berhubung perkara itu menerusi prosiding undang-undang.

1MDB membayar yuran khidmat nasihat yang terlalu tinggi sebanyak US$606 juta kepada Goldman Sachs bagi nasihat membabitkan terbitan tiga bon berjumlah US$6.5 bilion.

Penglibatan secara langsung Goldman Sachs dalam skandal 1MDB telah menyaksikan syarikat itu didenda oleh pelbagai pihak pengawal selia, termasuk Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang berjumlah US$2.9 bilion.

Jumlah denda dibayar Goldman Sachs adalah melebihi bayaran tunai yang dibuat kepada kerajaan Malaysia (US$2.5 bilion), walaupun Malaysia mengalami kesan terbesar daripada skandal 1MDB apabila perlu membayar sebanyak US$6.5 bilion (jumlah prinsipal) serta faedah kira-kira US$3.2 bilion dalam tempoh 10 tahun untuk melunaskan hutang 1MDB.

Pertikaian pada masa ini tertumpu kepada cubaan Goldman Sachs untuk mengimbangi denda yang dikenakan terhadap AMMB Holdings Bhd (RM2.8 bilion) serta perjanjian penyelesaian dengan IPIC (US$1.8 bilion) terhadap jaminan pemulihan aset bernilai US$1.4 bilion.

Goldman Sachs menyatakan bahawa obligasinya di bawah jaminan pemulihan aset telah dilepaskan melalui usaha itu.

Bagaimanapun, kerajaan Malaysia mempertikaikan perkara itu dan menegaskan bahawa denda yang dikenakan terhadap Ambank serta penyelesaian dengan IPIC tidak termasuk dalam skop jaminan pemulihan aset yang bernilai US$1.4 bilion.- BERNAMA

1 Komen

  1. Bukan hanya GS ambil kesempatan, orang kita juga tanpa ambil kesah tentang akewadudukan kewangan negara. Mrk ini datangnya/berasal drp Umno. Pastu salahkan PMX. Saya berpendapat masalah ekonomi negara, termasuk struktur ekonomi yang tidak lagi mampu bersaing, gaji yang rendah kebanding harga barangan yang tinggi dan pelarian tenagakerja mahir, penggantungan kpd impot untuk makanan, tiadanya kepelbagaian ekspot, sumber manusia yang kurang kemahiran yang diperlukan sekarang tuk kepelbagaian melintang dan menegak produk yang dikeluarkan, kemerosotan matawang Rgt, hutang negara yang tinggi, dan berbagai lagi semuanya berpunca drpda salahguna kuasa dalam pentadbiran ekonomi & kewangan negara yang meletakkan kepentingan keluarga dan kumpulan di atas kepentingan negara dan rakyat selama lebih 22 tahun. Dalam pada itu, tidak ada pemimpin yang berani mengubah dasar2 negara malah meneruskan mereka untuk kependirian diri, keluarga dan kumpulannya pula. Begitulah Che Det dengan kebumipeteraan dan penswastaannya, Najib dgn Transformasi50 dan 1MDBnya, dan Yiddin dan Mail Sabri dengan Jana Wibawa mereka. Maka bila datang seorang pemimpin yg bertekad mengubah, ranjau pun dipasang disepanjang jalan. Semua taktik kotor spt sorok fakta mengenai kewangan neg, sogokan, fitnah, penghinaan, cercaan, penipuan, dll digunakan untuk menggagalkan pemimpin itu. Inilah yant sedang dihadapi oleh PMX. Mari rakyat bantu PMX selamatkan negara daripada jembalang2 yang menyamar sbg malaikat ini.

Comments are closed.